Skip to main content

Dunia

Bekas penjaga gol Arsenal dan Liverpool, Alex Manninger, maut dalam nahas

Football - Juventus v Manchester City UEFA Europa League Group Stage Matchday Six Group A - Olympic Stadium, Turin, Italy - 10/11 - 16/12/10 Alex Manninger - Juventus Mandatory Credit: Action Images / Carl Recine/File Photo
Pengarah Sukan OEFB, Peter Schottel, menyifatkan pemergian Manninger sebagai satu kehilangan besar kepada bola sepak Austria. - Foto REUTERS

SALZBURG: Bekas penjaga gol Arsenal dan Liverpool, Alex Manninger, meninggal dunia pada usia 48 tahun selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kereta api di sebuah lintasan berhampiran Salzburg, Austria, pada Khamis.

Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Austria (OEFB) serta beberapa kelab yang pernah diwakili oleh Manninger sepanjang karier profesionalnya.

Pemain kelahiran Austria itu bersara daripada bola sepak profesional pada tahun 2017.

Menurut kenyataan polis Salzburg, kejadian berlaku kira-kira 8.20 pagi waktu tempatan.

Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa dari kenderaan tersebut, namun usaha memulihkannya gagal.

“Berdasarkan siasatan awal, kereta mangsa dirempuh sebuah tren Salzburger Lokalbahn ketika melintasi lintasan kereta api dan diseret beberapa meter.

Pemandu berada bersendirian dalam kenderaan tersebut.

Pemandu tren tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurut kenyataan polis.

Manninger mencatat 33 penampilan bersama skuad kebangsaan Austria dan mula dikenali di peringkat antarabangsa selepas menyertai Arsenal pada tahun 1997 hingga 2001.

Bersama kelab London itu, beliau membantu The Gunners memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Piala FA pada musim 1997–1998.

Selepas pengembaraannya di England, Manninger meneruskan karier di Itali bersama beberapa kelab terkemuka termasuk Fiorentina, Torino, Bologna, Siena, Udinese dan Juventus, sebelum menamatkan kariernya dengan Liverpool pada 2017.

Pengarah Sukan OEFB, Peter Schottel, menyifatkan pemergian Manninger sebagai satu kehilangan besar kepada bola sepak Austria.

“Alexander Manninger adalah duta bola sepak Austria yang cemerlang, di dalam dan di luar padang. Karier antarabangsanya menjadi sumber inspirasi dan penanda aras buat ramai penjaga gol muda.

"Profesionalisme, ketenangan dan kebolehpercayaannya menjadikan beliau tonggak penting dalam setiap pasukan yang diwakilinya, termasuk pasukan kebangsaan,” katanya.

Kelab Serie A, Fiorentina, memaklumkan mereka akan mengadakan satu minit bertafakur dan memakai lilitan lengan hitam dalam perlawanan Liga Konferensi Eropah menentang Crystal Palace sebagai tanda penghormatan.

Arsenal, yang kini mendahului liga, turut meluahkan rasa terkejut menerusi media sosial, manakala Liverpool dan beberapa kelab lain mengeluarkan kenyataan takziah.

Juventus dalam satu kenyataan berkata:  
“Hari ini adalah hari yang amat menyedihkan. Kami kehilangan bukan sahaja seorang atlet hebat, tetapi seorang insan dengan nilai murni yang jarang ditemui, rendah diri, berdedikasi dan memiliki tahap profesionalisme yang luar biasa. Alex Manninger akan sentiasa dikenang sebagai contoh terbaik di dalam dan di luar padang.”

Pemergian Alex Manninger meninggalkan kesan mendalam kepada dunia bola sepak Eropah, khususnya dalam kalangan rakan sepasukan, peminat dan generasi penjaga gol yang pernah menjadikan beliau sebagai inspirasi.

 

Must Watch Video