Skip to main content

Malaysia

Malaysia berpotensi besar rebut pemindahan teknologi global susulan ketegangan Asia Barat - MIER

41738359038_TBklcc.jpg
Menurut MIER, situasi krisis juga wajar dilihat sebagai peluang untuk menilai semula amalan sedia ada serta menyesuaikan diri dengan keperluan perniagaan yang sentiasa berubah. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi global kini giat mencari lokasi baharu untuk memindahkan operasi mereka ke Asia, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan trend tersebut susulan ketidaktentuan geopolitik berterusan di Asia Barat.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) memaklumkan trend itu boleh dimanfaatkan dengan lebih berkesan melalui pelaburan terkini dalam infrastruktur teknologi serta pembangunan industri bernilai tinggi di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

“Bagi menyokong pengeksport, peranan lebih aktif dalam memperkukuh industri berorientasikan eksport merupakan keutamaan penting bagi meningkatkan pendapatan eksport negara,” menurut kenyataan institut penyelidikan itu pada Khamis.

MIER memaklumkan sistem perbankan serta institusi kewangan seperti Export-Import Bank of Malaysia (EXIM Bank) perlu kekal tangkas dalam menyokong ekonomi, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan terma perdagangan global, komitmen pembangunan infrastruktur jangka panjang, keselamatan rakyat serta persaingan sengit apabila negara-negara lain terus mempelbagaikan strategi ekonomi masing-masing.

Menurut MIER, situasi krisis juga wajar dilihat sebagai peluang untuk menilai semula amalan sedia ada serta menyesuaikan diri dengan keperluan perniagaan yang sentiasa berubah.

“Kami telah mengadakan sesi perundingan dengan pemain industri dan perniagaan, agensi kerajaan berkaitan, sektor kewangan, dewan dan majlis perniagaan, serta pertubuhan masyarakat sivil bagi mendapatkan pandangan mengenai implikasi konflik Amerika Syarikat-Iran terhadap ekonomi Malaysia,” menurut MIER.

MIER memaklumkan terdapat kesepakatan bahawa walaupun kesan langsung konflik tersebut masih belum dirasai, impaknya dijangka mula muncul dalam tempoh terdekat.

“Jangkaan utama ialah peningkatan kos logistik dan harga input, yang seterusnya akan memberi kesan segera kepada kos sara hidup. Tekanan ini dijangka menjejaskan prestasi perniagaan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” menurutnya.

Para peserta turut bersetuju bahawa konflik berpanjangan berpotensi meningkatkan risiko ketakmampuan membayar hutang, kebankrapan dan kegagalan perniagaan, khususnya dalam sektor yang lebih terdedah kepada kejutan ekonomi.

Sehubungan itu, dicadangkan agar kerajaan mengambil pendekatan lebih awal dan proaktif dalam mengurus risiko berkenaan sekiranya keadaan ekonomi terus merosot.

Dalam pada itu, MIER mencadangkan kerajaan menyelaraskan dan mengurangkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada lima peratus bagi tempoh dua tahun, dengan pengecualian terhadap minuman keras, rokok dan aktiviti perjudian, bagi membantu mengurangkan tekanan kos ke atas pengguna dan perniagaan.

“Antara langkah penyeimbangan fiskal lain yang dicadangkan ialah pengurangan subsidi RON95 secara berperingkat, dengan penjimatan disalurkan bagi menampung subsidi diesel untuk sektor perniagaan.

“Langkah ini dijangka membantu mengurangkan kos operasi perniagaan, khususnya PKS yang bergantung kepada diesel untuk jentera dan logistik,” katanya

Pada masa sama, MIER turut mencadangkan agar  kerajaan mempertimbangkan pengurangan duti setem bagi tujuan penstrukturan semula perniagaan dan pembayaran balik kepada kadar seragam, bagi membantu perniagaan serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan di negara ini.

--  BERNAMA

Must Watch Video