Skip to main content

Malaysia

SUKMA Selangor: Pulau Pinang sasar 60 pingat emas, giat jalani persiapan akhir

41770546888_DANIELGOOIZISEN.jpg
Gooi berkata jumlah atlet yang akan dihantar masih belum dimuktamadkan dan kini berada dalam fasa pemilihan akhir. - Foto fail

GEORGE TOWN: Pulau Pinang menyasarkan kutipan 60 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata sasaran itu realistik berdasarkan persiapan rapi telah dilaksanakan sejak tamat edisi SUKMA lepas, termasuk pendedahan atlet ke pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata ketika ini kontinjen negeri berada pada fasa akhir persediaan, dengan fokus diberikan kepada memperkemas prestasi atlet serta memastikan aspek kesejahteraan dan kecergasan mereka berada pada tahap optimum.

“Kita kini berada dalam tempoh 120 hari lagi menjelang SUKMA 2026 dan ini merupakan fasa paling kritikal. Kita berharap dapat menukarkan potensi atlet kepada prestasi sebenar.

“Pada masa sama, perkara paling penting adalah memastikan atlet tidak mengalami kecederaan kerana ia boleh menjejaskan peluang mereka untuk beraksi di SUKMA nanti,” katanya kepada pemberita pada Majlis Countdown 120 Hari Sempena SUKMA Selangor 2026 di sini pada Khamis.

Beliau berkata sukan tempur kekal menjadi sandaran utama penyumbang pingat emas buat Pulau Pinang, di samping harapan agar acara sukan lain turut menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Sementara itu, Gooi berkata jumlah atlet yang akan dihantar masih belum dimuktamadkan dan kini berada dalam fasa pemilihan akhir.

“Lebih 800 atlet kini berada dalam senarai panjang merangkumi 37 jenis sukan dan jumlah ini akan disaring kepada kira-kira 500 atlet bagi senarai akhir kontinjen. Senarai pendek akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum kita umumkan jumlah rasmi atlet mewakili Pulau Pinang ke SUKMA,” katanya.

Menyentuh aspek logistik, beliau berkata Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) sedang giat menyelaras keperluan penginapan atlet berikutan ketiadaan perkampungan sukan berpusat pada edisi kali ini.

Beliau berkata acara yang berlangsung di beberapa daerah di Selangor memerlukan perancangan rapi, namun pihaknya yakin isu penginapan dapat ditangani dengan baik hasil kerjasama erat dengan penganjur.

“Walaupun penganjur menyediakan subsidi RM100 sehari, sebahagian kos tetap akan ditanggung oleh kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan dan keperluan atlet sentiasa terpelihara,” katanya.

Sebanyak 37 jenis sukan akan dipertandingkan pada SUKMA 2026 antaranya olahraga, akuatik, bola sepak, hoki dan badminton, serta sukan tambahan seperti catur, e-sukan, kriket dan kabaddi.

Pada edisi lepas di Sarawak, Pulau Pinang meraih 41 pingat emas, 45 perak dan 43 gangsa.

-- BERNAMA

Must Watch Video