Skip to main content

Malaysia

Ejen hartanah tikam ibu tunggal diperintah jalani pemeriksaan psikiatri

Sumber: Astro AWANI
Terdahulu, Muhammad Ilhami mengaku tidak bersalah atas dakwaan cuba membunuh dengan cara menikam leher Nurul Husna Kasmani menggunakan pisau di Titi Gajah, Kepala Batas, pada 17 Mei lalu. - Gambar Astro AWANI

ALOR SETAR: Seorang ejen hartanah yang dituduh cubaan membunuh ibu tunggal dengan menikam leher mangsa diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini supaya dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk penilaian psikiatri.

Perintah itu dikeluarkan Hakim N. Priscilla Hemamalini terhadap tertuduh, Muhammad Ilhami Badaruddin, 32, selepas membenarkan permohonan peguam, Mohd. Hakim Hamran.

Mohd. Hakim memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai masalah mental dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Terdahulu, Muhammad Ilhami mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Priscilla.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh dengan cara menikam leher Nurul Husna Kasmani, 35, menggunakan pisau di Titi Gajah, Kepala Batas, di sini kira-kira pukul 9.19 malam, 17 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

 

Must Watch Video

Advertisement