PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 16 sebatan yang dijatuhkan terhadap seorang warga Ukraine kerana mengedar 24.753 kilogram dadah jenis methamphetamine di sebuah kawasan parkir, empat tahun lepas.
Panel tiga hakim yang bersidang terdiri daripada Hakim Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk P. Ravinthran sebulat suara menolak rayuan Akahimo, yang turut dikenali sebagai Akanimo, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Akahimo, 48, yang merupakan bekas pengurus kelab malam, melakukan kesalahan itu di kawasan parkir sebuah restoran di Jalan C180/1, Dataran C180/1, Batu 11, daerah Hulu Langat, Selangor pada pukul 6 petang, 24 Mei 2022.
Dia pada awalnya dituduh bersama tiga individu lain, namun mereka dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.
Pada 26 Jun 2024, Mahkamah Tinggi mensabitkan Akahimo bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun serta 16 sebatan dengan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 24 Mei 2022.
Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 19 Jun tahun lepas.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menjalankan risikan di kawasan berkenaan sebelum mengesan sebuah kereta Mercedes-Benz tiba di lokasi, diikuti sebuah Toyota Vios, dengan kedua-dua kenderaan berhenti berdekatan.
Perayu dilaporkan keluar dari tempat duduk penumpang hadapan Mercedes-Benz sebelum berjalan ke arah sebuah Proton Bezza berhampiran. Pemandu Mercedes-Benz didakwa menurunkan cermin kenderaan dan menggunakan alat kawalan jauh untuk membuka kenderaan Proton Bezza tersebut.
Pegawai polis turut memerhatikan Akahimo keluar dari Mercedes-Benz dan menuju ke Proton Bezza sebelum mengambil sebuah kotak berwarna coklat.
Susulan itu, pasukan polis segera bertindak dan menahan kesemua suspek walaupun mereka cuba melarikan diri. Pemeriksaan ke atas kotak berkenaan menemui bungkusan teh Cina berlabel “Guanyinwang”, yang setiap satu mengandungi plastik berisi bahan disyaki dadah.
Pada prosiding hari ini, Akahimo diwakili peguam Sivahnanthan Ragava, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim dan Siti Rafidah Zainuddin.
-- BERNAMA