Skip to main content

Malaysia

Dua petugas taska bayi meninggal tidak mengikuti Kursus Asuhan PERMATA

Dua pekerja Taska di reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh bayi usia empat bulan di Taska dalam Hospital Seberang Jaya.
Dua wanita yang juga pengasuh di taska berkenaan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Gambar fail/Astro AWANI

GEORGE TOWN: Dua pekerja taska di dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang direman polis bagi membantu siasatan kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan pada Isnin lepas, tidak mengikuti Kursus Asuhan PERMATA (KAP).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata berdasarkan peraturan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setiap petugas Taska, Tadika dan Pusat Jagaan (TTPJ) wajib mengikuti KAP bagi memastikan tahap profesionalisme, tanggungjawab serta  kualiti penjagaan sentiasa berada pada standard yang ditetapkan.

"Berdasarkan siasatan JKM, terdapat tujuh petugas di taska itu dan 44 kanak-kanak berusia empat tahun termasuk bayi lelaki yang meninggal dunia dalam kejadian itu dihantar ke taska berkenaan yang beroperasi 24 jam sehari.

"Pemeriksaan juga mendapati tujuh petugas termasuk dua wanita yang ditahan itu tidak mengikuti KAP yang sememangnya diwajibkan kepada petugas TTPJ, hakikatnya masih terdapat pengasuh yang diambil bekerja di TTPJ, khususnya pengambilan baharu yang belum memenuhi syarat tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, dua wanita berumur 22 tahun yang juga pengasuh di taska berkenaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media melaporkan seorang bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah taska di dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Lim berkata hasil pemeriksaan mendapati taska terbabit berdaftar secara sah serta mematuhi syarat berkaitan pendaftaran dan National Integrated System of Childcare (NISPA) dan telah beroperasi sejak empat tahun lepas.

Katanya, sehingga kejadian itu, pihak JKM tidak pernah menerima sebarang aduan oleh ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke taska tersebut.

"Ekoran kejadian itu, pihak JKM telah mengarahkan taska terbabit ditutup bermula pada hari kejadian, iaitu 9 Mac lepas dan tidak dibenarkan beroperasi sementara sehingga siasatan pihak polis selesai,'' katanya dan menambah penutupan sementara adalah di bawah Seksyen 16 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video