WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Jumaat memberi bayangan bahawa perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran dijangka akan berakhir dalam masa terdekat, lapor Anadolu Ajansi.
“Kami telah menghentikan mereka. Mereka tidak akan memiliki senjata nuklear buat selama-lamanya.
"Mereka tidak akan memiliki senjata nuklear. Dan kami akan menamatkan perkara itu tidak lama lagi. Ia akan berakhir tidak lama lagi,” kata Presiden AS itu kepada para penyokongnya di negeri New York.
“Anda akan menyaksikan angka yang belum pernah dilihat sebelum ini, termasuk dari segi pertumbuhan dan penurunan kos. Harga kereta juga dijangka turun,” katanya.
Terdahulu pada Jumaat, agensi berita Iran melaporkan bahawa satu delegasi Qatar sedang mengadakan rundingan dengan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi di Tehran dalam usaha menamatkan perang itu menerusi pengantaraan Pakistan.
Laporan itu muncul selepas ketua tentera Pakistan, Fil Marsyal Asim Munir tiba di Tehran sebagai sebahagian daripada usaha pengantaraan berterusan Islamabad untuk menamatkan perang itu. Ia merupakan lawatan kedua Munir ke Tehran bagi tujuan berkenaan.
Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi pula berada di Tehran sejak dua hari lalu sebagai sebahagian daripada rundingan tidak langsung antara AS dan Iran.
Aktiviti diplomatik yang rancak itu berlaku ketika laporan menyebut para perunding semakin menghampiri persetujuan untuk menamatkan perang berkenaan.
Islamabad turut mempergiat proses pengantaraannya bagi memastikan pusingan kedua rundingan langsung antara kedua-dua pihak dapat diadakan.
-- BERNAMA-ANADOLU