Skip to main content

Malaysia

Dua pengarah syarikat rugi lebih RM800,000 diperdaya 'phone scam'

51744780752_TBGENERICMACAUSCAM.jpg
Azizee berkata suspek kemudian mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah serta memaklumkan satu waran tangkap telah dikeluarkan atas nama mangsa. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN: Seorang pengarah syarikat kerugian RM457,607 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon awal bulan ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata wanita berusia 69 tahun itu membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, semalam.

Beliau berkata kejadian bermula pada 1 Mac lepas ketika mangsa berada di rumahnya di Simpang Ampat apabila menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), mendakwa akaun bank miliknya terlibat dalam kes polis.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum suspek meminta mangsa membuat laporan polis secara dalam talian dengan panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.

“Mangsa kemudian disoal siasat dan diminta menyerahkan butiran peribadi kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizee berkata suspek kemudian mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah serta memaklumkan satu waran tangkap telah dikeluarkan atas nama mangsa.

Mangsa turut diarahkan supaya bekerjasama dengan pihak “polis” dengan menyerahkan semua butiran perbankan serta mengeluarkan wang simpanan untuk tujuan siasatan, dengan alasan wang itu akan dipulangkan selepas siasatan selesai.

“Pada 11 Mac, mangsa membuat serahan wang tunai pertama berjumlah RM168,477 di sekitar Taman Tambun Indah kepada seorang lelaki tidak dikenali seterusnya wang tunai berjumlah RM289,130 pada 13 Mac kepada suspek lain di kawasan sama, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM457,607,” katanya.

Beliau berkata selepas serahan kedua, suspek masih meminta wang tambahan menyebabkan mangsa mula berasa curiga sebelum menyedari dirinya ditipu lalu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kes lain, Azizee berkata seorang lagi pengarah syarikat turut menjadi mangsa penipuan panggilan telefon apabila diperdaya individu yang menyamar sebagai rakan perniagaan luar negara hingga menyebabkan kerugian RM433,230.91.

Beliau berkata kejadian berlaku pada 24 Mac ketika mangsa seorang lelaki berusia 47 tahun berada di kediamannya di Bayan Lepas menerima mesej daripada nombor telefon antarabangsa menyamar sebagai Dag Rasmussen, iaitu pemegang saham terbesar sebuah syarikat di Norway yang pernah dikenali mangsa dalam urusan perniagaan sebelum ini. 

“Suspek menyatakan hasrat untuk membeli sebuah syarikat di Hong Kong dan menawarkan mangsa untuk turut serta melalui suntikan modal berjumlah USD108,770 (RM433,230.91).

“Mangsa yang berminat kemudian dihubungi melalui aplikasi WhatsApp dan e-mel oleh seorang lagi individu menggunakan nama David Rintoul yang menyamar sebagai wakil peguam daripada sebuah firma guaman di London bagi urusan menandatangani perjanjian sulit pembelian syarikat berkenaan,” katanya.

Azizee berkata mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM433,230.91 melalui akaun syarikat miliknya ke akaun sebuah bank di Hong Kong atas nama sebuah syarikat pada 3 petang hari sama.

Selepas membuat pembayaran, mangsa melakukan semakan lanjut tetapi mula berasa curiga apabila maklumat yang diperoleh didapati tidak meyakinkan sebelum menghubungi individu sebenar yang dikenalinya dan dimaklumkan bahawa urusan tersebut sebenarnya tidak wujud.

Beliau berkata siasatan lanjut bagi kedua-dua kes masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA

Must Watch Video