KUALA LANGAT: Dua lelaki warga Indonesia ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah berhampiran Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat, Sabtu lalu.
Kedua-dua suspek ditahan kira-kira 100 meter dari pos keselamatan itu dalam Op Taring Nyah yang dijalankan pada kira-kira 11.30 pagi.
Dalam operasi tersebut, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas 89 kilogram (kg) syabu yang dianggarkan bernilai RM4.4 juta.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kedua-dua suspek dipercayai cuba membawa keluar dadah berkenaan ketika ditahan.
Menurut beliau, dadah itu dipercayai disembunyikan di kawasan semak berhampiran pantai sebelum dipindahkan menggunakan bot.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada Malaysia dijadikan lokasi transit atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di Pos Ladang Tumbuk, pada Isnin.
Hakemal Hawari berkata pihaknya percaya suspek berada di negara ini antara dua hingga tiga bulan dan berkemungkinan bekerja di kawasan ladang berhampiran.
Katanya, kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk tindakan lanjut.
Untuk rekod, sejumlah 179 serbuan dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah PGA sejak 1 Januari lalu meliputi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.
Hasilnya, 611 individu ditangkap dengan pelbagai jenis rampasan membabitkan nilai keseluruhan RM254 juta.