Skip to main content

Malaysia

Dua kilang, sebuah asrama pekerja di Juru musnah dalam kebakaran

Anggota bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman ke atas dua unit kilang lot berkembar dan sebuah asrama yang terbakar di Kawasan Industri Ringan Juru, Simpang Ampat, malam tadi.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya 10.22 malam sebelum operasi tamat dua jam kemudian. - Foto JBPM Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM: Dua buah kilang dan sebuah asrama pekerja musnah dalam kebakaran di kawasan Lorong Industri Ringan 4, Kawasan Industri Ringan Juru, di sini semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.25 malam.

"Sebaik tiba didapati, dua buah kilang pembuatan minuman kesihatan dan kabinet dapur lot berkembar dua tingkat dengan keluasan setiap unit dianggarkan 464.515 meter persegi serta asrama pekerja berkeluasan 55.74 meter persegi terbakar.

“Lapan orang yang berada di kilang dan asrama tersebut berjaya menyelamatkan diri, terdiri daripada masing-masing seorang pekerja Myanmar dan Vietnam serta dua pekerja tempatan dan tiga pekerja warga Nepal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya 10.22 malam sebelum operasi tamat dua jam kemudian selepas pihaknya memastikan tiada bara atau kemerebakan api di situ.

Menurutnya, 30 pegawai dan anggota bomba dari tiga balai bomba serta penyelamat terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran itu dan turut dibantu lebih 100 orang daripada 17 Pasukan Bomba Sukarela.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement