SEBELUM pengguna melihat kenaikan harga secara ketara di rak pasar raya, tekanan akibat konflik di Asia Barat sebenarnya mungkin terlebih dahulu dirasai oleh industri.
Daripada pengeluar makanan dan syarikat pembungkusan hinggalah sektor perladangan, peningkatan kos input serta gangguan rantaian bekalan global mula memaksa pemain industri menyesuaikan operasi bagi mengurangkan tekanan.
Menurut analisis Southeast Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC), antara sektor yang paling terdedah ialah baja, petrokimia dan bahan pembungkusan di mana komponen penting yang akhirnya mempengaruhi kos pengeluaran pelbagai produk pengguna.
Bila pembungkusan mula berubah
Bagi kebanyakan pengguna, perubahan mungkin belum muncul dalam bentuk rak kosong atau kenaikan harga mendadak.
Sebaliknya, kesannya boleh hadir dalam bentuk yang lebih kecil iaitu perubahan bahan pembungkusan, pengurangan margin keuntungan atau pelarasan operasi syarikat.
Penyelidik kanan SEAFIC, Mikhail Rosli memberi contoh bagaimana tekanan terhadap bahan petrokimia mula mempengaruhi keputusan operasi syarikat.
“Farm Fresh telah pun mengurangkan penggunaan botol plastik dan menggantikannya kepada kotak kertas,” katanya dalam taklimat media baru-baru ini.
Langkah itu, jelas beliau, mencerminkan bagaimana syarikat mula bertindak balas terhadap peningkatan kos bahan berkaitan plastik yang mempunyai kaitan dengan rantaian bekalan global.
Dalam laporan SEAFIC, bahan seperti high-density polyethylene (HDPE) dan low-density polyethylene (LDPE) dikenal pasti sebagai input penting yang digunakan secara meluas dalam botol susu, plastik pembungkusan, filem makanan, pembalut serta pelbagai produk pengguna lain.
Gangguan terhadap bekalan atau peningkatan kos bahan-bahan ini boleh memberi kesan terus kepada industri pembungkusan dan pengeluaran makanan.
Baja: Tekanan awal kepada sektor perladangan dan makanan
Selain plastik, baja turut dikenal pasti sebagai antara sektor yang mula menerima tekanan awal.
SEAFIC menjelaskan kenaikan kos input pertanian boleh memberi kesan kepada sektor perladangan, termasuk sawit, selain industri makanan yang bergantung kepada kestabilan kos pengeluaran.
Menurut Mikhail, tekanan ini mungkin tidak terus diterjemahkan kepada harga pengguna kerana banyak syarikat memilih untuk menyerap sebahagian kos terlebih dahulu.
“Syarikat-syarikat ini telah mengambil tindakan untuk menekan margin mereka,” katanya.
Dalam erti lain, keuntungan menjadi lebih kecil kerana sebahagian kos tambahan tidak terus dipindahkan kepada pengguna.
Bagi pekebun kecil dan pengeluar pertanian, peningkatan kos baja pula boleh memberi tekanan kepada operasi terutama jika konflik global terus berpanjangan.
Bukan soal kekurangan bekalan semata-mata
Menurut SEAFIC, kesan konflik terhadap ekonomi tidak semestinya muncul dalam bentuk kekurangan bekalan sepenuhnya.
Sebaliknya, lebih banyak tekanan boleh berlaku dalam bentuk peningkatan kos input, pelarasan operasi serta perubahan strategi syarikat bagi memastikan produk kekal berada di pasaran.
Walaupun sesetengah syarikat mungkin masih mempunyai stok simpanan mencukupi, Mikhail berkata tahap kesiapsiagaan sebenar sukar diukur kerana ia bergantung kepada strategi inventori setiap pemain industri.
“Saya tidak tahu sama ada syarikat-syarikat tersebut sudah mengumpul stok yang cukup sebelum ini.
“Kalau budaya bisnes mereka lebih konservatif, mungkin ada banyak stok. Mereka boleh guna (stok sedia ada) terlebih dahulu sebelum kesannya mula nampak,” katanya.
Industri mungkin rasa dahulu sebelum pengguna
Bagi SEAFIC, persoalan utama bukan sama ada Malaysia akan menerima kesan konflik, tetapi siapa yang terlebih dahulu perlu menyerap tekanan.
Buat masa ini, jawapannya mungkin terletak pada industri meliputi pengilang, sektor pembungkusan, pemain logistik hinggalah pengeluar pertanian, di mana sedang menyesuaikan diri dengan kos global lebih tinggi sebelum kesannya benar-benar dirasai pengguna.
Dengan kata lain, sebelum harga berubah di rak pasar raya, tekanan kemungkinan besar terlebih dahulu berlaku di kilang, ladang dan rantaian bekalan.
* Laporan ini diterbitkan hasil kerjasama lima organisasi media di Malaysia merangkumi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.