KUALA LUMPUR: Bekalan plastik negara ketika ini masih mencukupi, manakala kerajaan sedang mempergiat usaha mendapatkan sumber tambahan, memperluas kerjasama antarabangsa serta meneroka bahan mentah alternatif bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata keadaan bekalan plastik global ketika ini turut terjejas akibat gangguan pengeluaran minyak dan gas serta ketidaktentuan geopolitik, di Selat Hormuz.
“Setakat ini, bekalan dalam negara masih mencukupi untuk sekurang-kurangnya dua bulan,” katanya dalam taklimat Mingguan Krisis Global Tenaga, hari ini.
Beliau berkata industri plastik bergantung kepada bahan mentah berasaskan petrokimia seperti nafta, ammonia, etilena dan propilena yang dihasilkan daripada minyak dan gas.
Menurut beliau plastik merupakan komponen penting dalam pelbagai sektor ekonomi, termasuk pembungkusan makanan, barangan pengguna, peralatan kesihatan serta logistik.
“Bahan berasaskan minyak dan gas digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Apabila berlaku gangguan kepada bekalan global, pengeluaran akan terhad dan kos dijangka meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan telah memperoleh bekalan tambahan nafta dan resin dari China bagi menyokong keperluan sektor kesihatan.
Mengulas lanjut, Fadillah menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan rakyat menanggung kesan tekanan rantaian bekalan global secara bersendirian.
“Kerajaan akan terus memastikan bekalan keperluan harian rakyat kekal terjamin,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah awal dan akan terus memperkukuh usaha bagi memastikan rakyat dilindungi, dengan tumpuan kepada tiga strategi utama iaitu menjamin bekalan asas mencukupi, memanjangkan tempoh bekalan melalui pengurusan dan pengagihan berhemah serta mengekang kenaikan harga melalui pemantauan rapi dan tindakan tegas.
Terdahulu, industri pembuatan plastik negara dilaporkan dijangka terus berdepan ketidaktentuan dalam jangka masa pendek hingga sederhana susulan krisis di Asia Barat.
Beberapa gred resin turut dilaporkan melepasi paras US$2,000 setan, meningkat lebih 100 peratus berikutan konflik yang mengganggu aliran minyak mentah dan bahan petrokimia melalui Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan bekalan huluan bagi pengeluaran resin.
-- BERNAMA