Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang tidak terlibat pemilihan syarikat untuk Pakej 2 LRT Laluan Mutiara - Chow

GEORGE TOWN, 7 April -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow ditemui pemberita selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Silicon Island) 2050 di sini hari ini.  Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Chow berkata kerajaan negeri hanya berperanan sebagai pemegang taruh penting dalam projek tersebut dan terlibat dalam Jawatankuasa Procurement One Stop Centre. - Gambar fail/Bernama

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak terlibat dalam pemilihan syarikat yang akan melaksanakan kontrak Pakej 2 Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara kerana ia di bawah tanggungjawab Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri hanya berperanan sebagai pemegang taruh penting dalam projek tersebut dan terlibat dalam Jawatankuasa Procurement One Stop Centre.

"Apabila MRT Corp sudah membuat penilaian dan akan membuat rekomendasi (mengesyorkan) kepada One Stop Procurement Centre ini, jadi saya boleh katakan belum sampai untuk buat tawaran lagi.

“Saya percaya mereka masih menilai tender yang mereka terima," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Automasi, Ujian dan Peralatan (ATE) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan portal yang mendakwa berlaku kelewatan dalam proses tawaran Pakej 2 bagi projek LRT Laluan Mutiara susulan campur tangan dan lobi politik.

Dalam pada itu, Chow turut menolak dakwaan bahawa projek berkenaan mengalami kelewatan memandangkan pelaksanaan projek masih berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan tanpa sebarang gangguan.

LRT Laluan Mutiara yang memulakan pembinaan pada 2025 dan dijangka beroperasi pada Disember 2031 akan merentasi laluan sejauh 29.67 kilometer (km) dengan 20 stesen serta dua stesen sementara.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah berhubung dengan pihak berkuasa di Kedah bagi menyelaras langkah segera susulan paras air Sungai Muda yang kini berada pada paras bahaya.

Beliau berkata pelepasan air dari Empangan Beris, Kedah turut dicadangkan sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi penyusutan paras Sungai Muda.

"Dalam masa sama, Pulau Pinang akan meneruskan pengeluaran air dari Empangan Mengkuang untuk menampung keperluan semasa dan bagi memastikan bekalan air tidak terjejas,” katanya.

Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata negeri itu berharap usaha pembenihan awan dapat dilaksanakan di kawasan hulu di Kedah sebagai langkah segera meningkatkan paras air Sungai Muda bagi memastikan sumber air mentah terus mencukupi. 

Paras air di Sungai Muda dilaporkan mencecah tahap bahaya iaitu pada 1.27 meter di muka sauk Lahar Tiang pada 4.30 petang semalam, jauh lebih rendah berbanding paras selamat dua meter.

-- BERNAMA

Must Watch Video