KUALA LUMPUR: Presiden Olahraga Malaysia (MA) Datuk Karim Ibrahim menjelaskan kepimpinan beliau tidak pernah menidakkan proses semak dan imbang dalam aspek tadbir urus, sebaliknya kebajikan atlet dan jurulatih sentiasa diutamakan sejak menerajui persatuan itu tahun lepas.
Karim berkata beliau terbuka kepada pandangan semua pihak, khususnya bekas atlet bagi memastikan MA ditadbir urus dengan telus dan profesional.
Beliau menambah antara usaha yang dilakukan termasuk mengadakan sesi perbincangan merangkumi pelbagai aspek bersama bekas atlet negara dalam satu pertemuan yang berlangsung pada 3 Jan lepas.
“Isu (dibincangkan) ialah kontrak jurulatih, bayaran insentif untuk bekas atlet, penglibatan bekas atlet dalam kejurulatihan, pengenalpastian bakat, kepakaran jurulatih asing, penganjuran pertandingan, suntikan motivasi, peranan bekas atlet dalam pembangunan serta penubuhan organisasi untuk bekas atlet.
“Dalam sesi itu, MA mengambil kira pandangan bekas atlet negara dalam merangka kerjasama strategik dengan pemegang taruh lain seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan agensi kerajaan yang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara yang hadir dalam perbincangan itu ialah bekas ketua jurulatih olahraga negara Mohd Zaki Sadri, Nordin Jadi, Nur Herman Majid, Datuk Zaiton Othman, G. Shanti, Sajarutuldur Hamzah, Annastasia Karen Raj, Nazmizan Muhammad, Zafril Zuslaini dan Mohd Robani Hassan.
Selain itu, Karim memaklumkan beliau telah menyenaraikan perubahan dari segi dasar dan garis panduan berhubung semua aspek tadbir urus MA termasuk kod sukan selamat, prosedur operasi standard untuk kelulusan penganjuran kejohanan, acara larian maraton, kaedah perubatan dan antidoping serta sistem pendaftaran kontraktor.
Justeru, beliau memohon agar mana-mana pihak berkepentingan yang memiliki idea membangunkan olahraga agar tampil mengikut saluran betul agar pelaksanaannya dapat diusahakan tanpa ‘bermain’ politik.
“Pihak yang mahu saya disingkirkan pun ada agenda tersembunyi yang saya khuatir akan terdedah jua akhirnya,” katanya.
Karim sebelum ini menegaskan kedudukannya sebagai Presiden MA diperoleh melalui proses perlembagaan yang sah, telus dan teratur serta mematuhi semua garis panduan ditetapkan, justeru beliau berasa hairan mengapa kedudukannya masih dipersoalkan ketika ini.
-- BERNAMA