KUALA LUMPUR: Peguam yang dinamakan dalam laporan polis berhubung dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, pagi ini bagi memberi keterangan.
Nizamuddin Hamid yang juga peguam kepada balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dilihat memasuki pekarangan ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sekitar pukul 10.10 pagi.
Beliau hadir ditemani peguamnya, Datuk Khalid Yusoff.
Difahamkan, keterangan Nizamuddin itu akan direkodkan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
Nizamuddin juga dikatakan akan mengadakan sidang media di luar pekarangan Bukit Aman sejurus selesai sesi soal siasat.
Seorang lagi peguam yang turut dinamakan ialah rakan kongsi firma guamannya, Amir Zharif Abdullah.
Bagaimanapun, Nizamuddin sebelum ini menegaskan, tiada sebarang perbincangan atau arahan daripada anak guamnya, Na’imah berkaitan sebarang usaha untuk menggugat kerajaan atau sistem demokrasi negara.
Beliau malah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “pembohongan terbesar.”
Beliau berkata, anak guamnya, Na'imah tidak pernah memberikan arahan sedemikian kepada pasukan guamannya.
Siasatan kes ini bermula selepas satu laporan polis dibuat yang mendakwa wujud cubaan oleh individu tertentu untuk menggulingkan kerajaan serta mengancam kestabilan negara.
Sebelum ini, Na'mah mengesahkan satu laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.
Terkini, Na'imah bersama dua anaknya dan peguam keluarga itu memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dua yang lain bagi mencabar siasatan terhadap mereka berkaitan dakwaan menggulingkan kerajaan.
Dua lagi defendan adalah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia.