IPOH: Klinik Kesihatan (KK) Pulau Pangkor membuat laporan polis berhubung video tular yang mendakwa berlaku kelewatan ambulans dalam kes kemalangan maut membabitkan seorang pegawai pergigian wanita KL Jelapang di Jalan Pasir Bogak, Pulau Pangkor, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A. Sivanesan berkata dakwaan ambulans mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk tiba di lokasi adalah tidak berasas dan bercanggah dengan rekod rasmi Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya berdasarkan log panggilan Pusat Penyelarasan Kecemasaan Perubatan (ECC), pusat kecemasan menerima panggilan pada 10.57 pagi sebelum maklumat disalurkan kepada KK Pulau Pangkor pada 11.01 pagi.
“Pasukan ambulans kemudian tiba di lokasi pada jam 11.12 pagi dan perjalanan dari klinik ke lokasi kemalangan hanya mengambil masa kira-kira dua minit,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Semalam, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki mendakwa berlaku kelewatan bantuan kecemasan di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira10.55 pagi itu, pegawai pergigian berusia 30 tahun maut selepas motosikal sewa ditungganginya dipercayai terbabas berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hua Lian, Pulau Pangkor.
Sivanesan berkata Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan terus memantau perkembangan isu berkenaan bagi membetulkan persepsi masyarakat selain menegaskan respons ambulans mematuhi garis panduan ditetapkan KKM.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abdul Rahman dalam kenyataan berkata siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati sebuah motosikal jenis Yamaha Avantiz ditunggang mangsa datang dari arah pekan Pangkor menuju ke arah Pasir Bogak.
“Ketika sampai di tempat kejadian, penunggang tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan terjatuh di bahu jalan sebelah kiri laluan tersebut.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke KK Pangkor dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 12.11 tengah hari.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Shahizan Shaari di talian 05-6899072.
-- BERNAMA