Skip to main content

Malaysia

Bom tinggalan perang ditemui di Lahad Datu berjaya dimusnahkan - Polis

51754895328_TBgarisanpolis.jpg
LAHAD DATU: Bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditemui di tebing Sungai Segama, Kampung Batu 8, di sini, Ahad lepas, berjaya dimusnahkan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata pemusnahan dilakukan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada pukul 11.33 pagi.

"Bom berkenaan dimusnahkan menggunakan kaedah Low Order dengan bantuan sistem elektrik serta bahan letupan khas. Operasi berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi itu melibatkan empat pegawai dan 17 anggota termasuk Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 52 tahun melaporkan penemuan objek berbentuk bom ketika menjala ikan di tebing sungai berkenaan.

-- BERNAMA


Must Watch Video