MOSCOW: Menteri Luar Sweden Maria Malmer Stenergard menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya segera mengenakan sekatan ke atas Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir susulan penahanan aktivis pro-Palestin daripada Global Sumud Flotilla (GSF), lapor Sputnik/RIA Novosti memetik akhbar Politico pada Jumaat.
Pada Rabu, Kementerian Luar Israel memaklumkan bahawa tentera laut Israel telah menahan 430 aktivis daripada flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza. Ben-Gvir berkongsi rakaman video yang menunjukkan anggota keselamatan Israel memaksa ahli flotila yang ditahan melutut dengan kepala ditundukkan serta tangan diikat ke belakang.
Menteri itu sendiri turut kelihatan dalam rakaman berkenaan sambil mengibarkan bendera Israel dan mengeluarkan kenyataan provokatif terhadap para aktivis.
Pada Khamis, Menteri Luar Itali merangkap Timbalan Perdana Menteri Antonio Tajani turut menggesa EU mengenakan sekatan terhadap Ben-Gvir susulan insiden melibatkan flotila itu.
Flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza itu berlepas dari Barcelona pada 15 April. Pada Isnin, penganjur memaklumkan bahawa flotila berkenaan telah dikepung dan dipintas secara paksa oleh kapal tentera laut Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 250 batu nautika dari pantai Gaza.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI