Skip to main content

Malaysia

Beras Adan warisan Lun Bawang, lambang pertanian lestari pedalaman Sarawak

Beras Adan_WWF MALAYSIA
Beras Adan yang diwarisi turun-temurun bukan sekadar makanan ruji, malah menjadi nadi kehidupan masyarakat Lun Bawang serta mencerminkan hubungan erat komuniti itu dengan alam sekitar. - Gambar WWF-Malaysia

KUCHING: Beras Adan yang ditanam di kawasan tanah tinggi Ba’kelalan di pedalaman utara Sarawak menjadi antara lambang warisan serta identiti masyarakat Lun Bawang.

Beras Adan yang diwarisi turun-temurun bukan sekadar makanan ruji, malah menjadi nadi kehidupan masyarakat Lun Bawang serta mencerminkan hubungan erat komuniti itu dengan alam sekitar.

Dalam usaha memastikan warisan itu terus terpelihara, para petani di Ba’kelalan mengambil langkah proaktif dengan mengamalkan pertanian lestari melalui kerjasama dengan WWF-Malaysia menerusi Sistem Intensifikasi Padi (SRI). 

Pegawai Libat Urus dan Pemerkasaan Komuniti WWF-Malaysia Nadya Cindy Wembly berkata SRI yang diperkenalkan pada 2017 bukan sahaja memelihara alam sekitar, malah membantu meningkatkan hasil tanaman.

“Pada peringkat awal, hanya 12 petani yang berani menyahut cabaran menyertai projek rintis ini dengan sokongan kewangan daripada sebuah bank tempatan. Selain itu, WWF-Malaysia turut melantik pakar SRI, Kapten (Bersara) Zakaria Kamantasha, yang juga pengasas SRI Lovely Organic Farm, Kedah untuk melatih petani di Ba’kelalan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada 2019 usaha petani mula menunjukkan perubahan positif apabila hasil tanaman lebih sihat dan subur serta pengeluaran hasil padi meningkat tanpa penggunaan bahan kimia.

“Pendekatan itu turut membantu meningkatkan pendapatan petani serta mengurangkan tekanan terhadap pembukaan kawasan hutan baharu untuk penanaman padi dan pencemaran sungai.

“Walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19 pada 2020, petani kekal tabah dengan meneruskan usaha melalui latihan sesama komuniti dengan sokongan berterusan WWF-Malaysia,” katanya.

Pada 2022, beras Adan telah menerima pengiktirafan Petunjuk Geografi (GI) oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Beliau berkata pengiktirafan itu penting dalam melindungi keaslian dan keunikan beras Adan yang berkait rapat dengan tanah asal serta usaha berterusan masyarakat Lun Bawang dalam mengekalkan warisan pertanian mereka.

“Menjelang 2025, lebih ramai petani menyertai inisiatif itu dengan lebih 100 petani telah dilatih dalam kaedah SRI dan sebanyak 12 petani Ba’kelalan berjaya memperoleh Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).

“Kerjasama strategik telah kita laksanakan untuk membantu memasarkan beras Adan ke pasaran lebih luas serta menyokong usaha pemuliharaan melalui sumbangan daripada setiap jualan,” katanya.

Kini, beras Adan telah diiktiraf sebagai produk warisan premium yang mencerminkan tanah, budaya dan legasi pertanian Sarawak, selain dijadikan sebagai hadiah korporat serta dipasarkan di kedai khusus dan platform pelancongan.

-- BERNAMA

Must Watch Video