Skip to main content

Malaysia

PGA ambil alih pemantauan stesen minyak di empat daerah bersempadan Kelantan-Thailand

71724844594_diesel.jpg
Ahmad Radzi berkata anggota yang ditempatkan akan memantau pembelian bahan api serta menjalankan pemeriksaan sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan. - Gambar hiasan

TUMPAT: Lebih 50 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mula ditugaskan di stesen minyak di empat daerah bersempadan Malaysia-Thailand, sebagai langkah membanteras ketirisan bahan api ke negara jiran.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata penugasan melibatkan sembilan stesen minyak yang dikenal pasti berisiko tinggi, iaitu empat di Tumpat, masing-masing dua di Tanah Merah dan Pasir Mas, serta satu di Jeli.

Beliau berkata anggota bertugas secara syif dengan dua anggota bagi setiap syif, manakala stesen yang beroperasi 24 jam menempatkan sehingga enam anggota bagi tiga syif.

“Bagi stesen yang beroperasi dalam tempoh tertentu, empat anggota ditugaskan untuk dua syif sehingga operasi tamat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ahmad Radzi berkata anggota yang ditempatkan akan memantau pembelian bahan api serta menjalankan pemeriksaan sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan.

“Langkah ini diambil bagi mengekang ketirisan bahan api ke negara jiran, selain memastikan tiada penyelewengan berlaku di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

Difahamkan, sebanyak 48 stesen minyak dalam lingkungan 25 kilometer dari kawasan sempadan turut dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sementara itu, anggota PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa turut ditempatkan di stesen minyak berhampiran pintu keluar masuk sempadan di Rantau Panjang bagi memantau kenderaan, khususnya kenderaan asing.

Berikutan itu, tinjauan Bernama hari ini di dua stesen minyak berhampiran pintu sempadan Rantau Panjang, Pasir Mas mendapati kawalan dipertingkat dengan kehadiran anggota PGA yang menjalankan pemantauan secara berterusan sejak semalam.

Anggota terbabit dilihat memeriksa kenderaan yang mengisi minyak, termasuk memantau jenis bahan api yang digunakan serta memastikan tiada pengisian ke dalam tong atau bekas tambahan yang melanggar peraturan.

Penugasan dilakukan secara bergilir-gilir dari 6 pagi hingga 10 malam, dengan anggota ditempatkan di kawasan pam minyak dan laluan keluar bagi memerhati pergerakan kenderaan secara lebih dekat.

Selain itu, kenderaan asing turut diberi perhatian khusus bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang hanya membenarkan pengisian petrol RON97, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan bahan api bersubsidi.

Keadaan di stesen minyak berkenaan didapati terkawal, dengan pengguna mematuhi arahan yang ditetapkan, manakala kehadiran anggota PGA turut dilihat memberi kesan pencegahan terhadap sebarang cubaan penyelewengan.

Pada 11 April, polis menempatkan anggota di lebih 80 stesen minyak berhampiran sempadan dengan segera bagi mengekang aktiviti penyeludupan petrol dan diesel susulan krisis tenaga global ketika ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata arahan sudah diberikan kepada Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, untuk tindakan lanjut termasuk mengatur penugasan anggota bagi mengawasi stesen minyak berhampiran sempadan, sekali gus memantau serta membanteras penyeludupan bahan api.

-- BERNAMA

Must Watch Video