SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mempergiat usaha mempelbagaikan sumber tenaga sebagai langkah jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api tradisional, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi negeri berdepan cabaran global.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan itu melibatkan penerokaan teknologi tenaga baharu termasuk solar, hidrogen dan Waste-to-Energy (WTE) bagi memastikan kelangsungan operasi negeri serta kestabilan sektor industri utama.
Beliau menjelaskan, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk perluasan penggunaan sistem tenaga solar dengan teknologi bateri di bangunan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah.
“Dalam tempoh terdekat, kita juga akan meluncurkan loji Waste-to-Energy di Jeram dan Tanjung 12 agar pengurusan sisa pepejal dapat menjana tenaga, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media khas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Khamis.
Menurut beliau, loji berkenaan dijangka mula beroperasi seawal Jun dan akan menjadi antara sumber tenaga baharu kepada negeri selain meningkatkan kecekapan pengurusan sisa.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menyiapkan loji hidrogen mini berkapasiti 5.1 megawatt di Kerling, Kuala Selangor yang mampu membekalkan tenaga kepada hampir 13,000 rumah.
Amirudin menegaskan, langkah mempelbagaikan campuran tenaga itu penting bagi memastikan Selangor tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada gas atau arang batu, sebaliknya mempercepatkan penggunaan tenaga alternatif seperti solar, hidrogen dan biodiesel.
“Ini bermakna campuran tenaga di Selangor perlu dipelbagaikan dan dipercepatkan, supaya kita lebih bersedia menghadapi sebarang tekanan bekalan tenaga pada masa hadapan,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri sedang meneroka potensi pembangunan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang, termasuk membina keupayaan tempatan melalui kerjasama antarabangsa dan pembangunan bakat dalam kalangan pelajar universiti.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha strategik Selangor untuk memastikan sistem tenaga yang lebih mampan, stabil dan berdaya tahan selari dengan keperluan ekonomi masa depan.