SUNGAI PETANI: Proses bedah siasat ke atas mayat pasangan suami isteri yang ditemukan meninggal dunia dalam keadaan kepala terpisah dari badan di di Kampung Belau, Merbok telah selesai.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, pihaknya kini sedang menunggu proses Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi menentukan identiti dua individu terbabit sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.
Bagaimanapun, jelas beliau, bedah siasat ke atas anak pasangan itu yang ditemui meninggal dunia di tingkat atas rumah terbabit telah selesai dan telah dikebumikan pada petang Khamis.
“Kita sekarang masih menunggu laporan awal bedah siasat bagi mengetahui punca kematian kedua-dua mangsa.
“Polis akan memberi laporan terkini sekiranya memperoleh perkembangan terkini dan kita juga telah mengambil keterangan 11 orang saksi bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Dalam laporan Astro AWANI semalam, tiga beranak ditemukan maut dalam keadaan tragis apabila dua daripadanya kepala terpisah dari badan dan mayat anaknya ditemui dengan hirisan di tengkuk.
Mayat pasangan suami isteri berusia 65 tahun dan 53 tahun itu dan anak lelaki mereka berusia 29 tahun ditemui anggota polis dan penduduk kampung.
Sementara itu, polis turut menemui beberapa senjata tajam yang ditemui di tingkat atas rumah berkenaan berhampiran mayat anak pasangan itu.