KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis mencatatkan nilai jualan RM1.3 juta di dua lokasi Bazar Ramadan Tani FAMA di negeri itu setakat ini, melibatkan penyertaan 109 usahawan tempatan sepanjang Ramadan.
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata bazar beroperasi di Pasar Tani Kekal Simpang Empat dan Dataran ABC MAIPs itu menjadi platform usahawan menjana pendapatan dan memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa.
Beliau ketika mengulas mengenai Program Sentuhan Kasih Ramadan @ Bazar Ramadan Tani FAMA 1447H/2026 berkata ia diadakan di kedua-dua lokasi itu dan berjaya mengumpulkan hampir 500 kilogram makanan daripada peniaga sejak Isnin dan semalam untuk disumbangkan kepada jemaah masjid di kawasan sekitar.
“Program ini bertujuan menggalakkan usahawan yang terlibat di bazar Ramadan seliaan FAMA untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan masyarakat, khususnya jemaah masjid dan golongan yang memerlukan sepanjang Ramadan,” katanya selepas menyempurnakan program berkenaan di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd Anzara berkata FAMA Perlis turut memperluaskan peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan Ramadan melalui beberapa program jualan khas yang diadakan di negeri berkenaan.
“Antaranya Jualan Semarak Ramadan di Pasar Tani Masjid Istiqamah Teluk Jambu yang mencatatkan nilai jualan RM43,600, Jualan Agro MADANI Ramadan di Sekolah Kebangsaan Dato Ahmad Musa, Simpang Empat serta di pekarangan Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis dengan nilai jualan RM22,085,” katanya.
Selain itu, Mohd Anzara berkata Jualan Pra-Ramadan menerusi platform AgroBazaar Online turut merekodkan nilai jualan RM13,400, yang menjadikan jumlah keseluruhan RM79,085 bagi program jualan berkenaan.
Beliau berkata FAMA Perlis akan meneruskan beberapa lagi program jualan bagi membantu orang ramai membuat persiapan menjelang Aidilfitri, termasuk Jualan Khas Semarak Aidilfitri di Pasar Tani Kekal Simpang Empat pada 17 Mac serta Jualan Agro MADANI di Pusat Komersial Perlis dan Pejabat FAMA Perlis pada 19 Mac ini.
-- BERNAMA