KUALA LUMPUR: Iran mempunyai hak menubuhkan agensi baharu bagi mengurus operasi di Selat Hormuz selagi tindakan itu mematuhi peruntukan undang-undang maritim antarabangsa di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Presiden CME Group, Datuk Kapten Jaafar Lamri berkata, sebelum tercetusnya konflik di rantau Asia Barat, Selat Hormuz beroperasi di bawah konsep 'safe transit'.
Ia bermaksud kapal dagang antarabangsa boleh melalui Selat Hormuz secara bebas dan selamat seperti di Selat Melaka atau Selat Gibraltar.
"UNCLOS sememangnya memberikan hak kepada negara pesisir untuk mengurus perairan mereka terutama dalam keadaan keselamatan berisiko akibat peperangan atau ancaman ketenteraan.
“Dalam situasi sedemikian, negara yang mempunyai laluan air sempit dan sesak (choke point) ada hak untuk mengurus perairan tersebut bagi memastikan keselamatan pelayaran,” kata Jaafar dalam program Buletin Awani Khas, di sini, pada Selasa.
Jelasnya, tindakan Iran menubuhkan agensi baharu itu boleh dilihat sebagai langkah pengurusan keselamatan maritim dan bukannya sekatan mutlak terhadap kebebasan pelayaran antarabangsa.
Jaafar bagaimanapun menegaskan sebarang bentuk kawalan oleh Iran perlu dilaksanakan secara telus dengan peraturan jelas kepada komuniti maritim antarabangsa.
“Jika ada risiko tinggi, negara yang mempunyai perairan boleh mengurus kawasan air di situ. Tetapi ia harus jelas, kena tahu apa regulasi, terma dan sebagainya,” ujarnya.
Katanya lagi, Malaysia juga melaksanakan sistem pemantauan keselamatan di Selat Melaka menerusi sistem pengasingan trafik kapal dan pemantauan pergerakan kapal secara berterusan.