Skip to main content

Malaysia

16,681 warga asing ditahan, 737 majikan diambil tindakan - Imigresen

PUTRAJAYA, 19 Mei -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Imigresen di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri, Presint 10 hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Putrajaya, pada Selasa. - Bernama

PUTRAJAYA: Seramai 16,681 warga asing dan 737 majikan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi 4,785 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara setakat 15 Mei lalu. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan agresif itu membuktikan Jabatan Imigresen tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan dan pelanggaran Akta Imigresen. 

"Operasi penguatkuasaan bagi tahun ini dipertingkatkan secara lebih agresif membabitkan pemeriksaan terhadap 69,406 individu. 

"Sehingga 15 Mei, kita sudah melaksanakan 4,785 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan operasi ini membabitkan pemeriksaan terhadap 69,406 individu," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini, pada Selasa. 

Dalam pada itu, Zakaria memberitahu, semua tahanan itu ditempatkan di 20 depoh imigresen termasuk depoh sementara di seluruh negara, dengan jumlah tahanan ketika ini melebihi 20,000 orang. 

Katanya, daripada jumlah tahanan itu, seramai 19,700 individu berjaya dihantar pulang ke negara asal. 

Daripada jumlah itu ujar beliau, 7,936 pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah dari Indonesia, Myanmar (4,005 orang), Bangladesh (2,453 orang), Filipina (1,825 orang) dan Thailand (1,008 orang). 

"Seringkali kita melihat di luar orang pertikaikan berapa ramai Jabatan Imigresen tangkap, tapi berapa ramai yang dihantar pulang dan sebagainya. 

"Hari ini saya bagi maklumat... 19,700 tahanan kita sudah hantar pulang," katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria berkata, Program Repatriasi Migran 2.0 yang diperkenalkan tahun lalu merekodkan seramai 257,443 migran daripada 112 negara berdaftar dan pulang ke negara asal masing-masing.

"Daripada jumlah itu, tiga warganegara tertinggi ialah Indonesia seramai 111,660 orang, Bangladesh (49,481 orang) dan Myanmar (33,858 orang)," katanya. 

Katanya, program berkenaan turut berjaya menjana hasil kepada kerajaan sebanyak RM128.7 juta.

Must Watch Video