ERA ‘The Beast’ nampaknya masih belum berakhir apabila dunia WWE dikejutkan dengan kepulangan mengejut Brock Lesnar pada episod terkini Raw dan menyerang Oba Femi hanya beberapa saat sebelum cabaran terbuka juara itu bermula.
Kemunculan semula Lesnar hadir hanya beberapa minggu selepas beliau tewas kepada Femi pada malam kedua WrestleMania 42 dalam perlawanan yang dianggap simbolik pertukaran era WWE.
Ketika itu, Lesnar dilihat menanggalkan sarung tangan dan butnya di tengah gelanggang sebelum beredar, iaitu satu isyarat yang sering dikaitkan dengan persaraan dalam dunia gusti profesional.
Malah WWE sendiri sebelum ini dilaporkan telah memindahkan nama Lesnar ke bahagian alumni di laman web rasmi syarikat, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa karier legenda heavyweight itu sudah berakhir.
Namun pada Raw hari ini, segala spekulasi itu seakan musnah.
Ketika Femi sedang membuat kemasukannya dan bersedia melakukan pose ikoniknya di tengah gelanggang, Lesnar tiba-tiba muncul lalu menyerangnya dengan beberapa 'F5' berturut-turut sehingga meninggalkan 'The Ruler' terbaring tidak bermaya.
Lesnar kemudian dilihat menjerit ke arah Femi sebelum berjalan keluar meninggalkan arena, mencetuskan sorakan dan kejutan besar dalam kalangan peminat.
Dalam satu segmen belakang pentas, Paul Heyman memberitahu Pengurus Besar Raw, Adam Pearce bahawa Lesnar sebenarnya sudah bersara, sebelum menyerahkan kontrak perlawanan 'Clash in Italy' yang tertera nama Lesnar.
Heyman turut mendakwa jika Femi menandatangani kontrak tersebut, WWE bakal menyaksikan perlawanan ulangan terbesar dalam sejarah.
Kemenangan Femi ke atas Lesnar di WrestleMania 42 sebelum ini dianggap ramai sebagai detik 'passing the torch', dengan bintang muda kelahiran Nigeria itu dilihat sebagai generasi baharu kuasa dominan WWE.
Namun kepulangan mengejut Lesnar kini memberi gambaran bahawa 'The Beast' masih belum bersedia menyerahkan takhtanya sepenuhnya.
'Storyline' WWE kali ini juga dilihat cukup menjadi apabila ramai peminat langsung tidak menyangka beliau akan kembali.
Lesnar sememangnya antara figura paling dominan dalam sejarah WWE moden selepas pernah memegang pelbagai kejuaraan dunia selain mencipta reputasi sebagai atlet yang 'menggerunkan'.
Bekas juara heavyweight UFC itu juga terkenal dengan beberapa 'comeback' ikonik sepanjang kariernya, namun kemunculan kali ini mungkin menjadi antara yang paling mengejutkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.