Skip to main content

Malaysia

Bapa didakwa tampar, gigit bayi 10 bulan

MELAKA - Seorang peniaga burger tidak mengaku di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu atas pertuduhan mencederakan anaknya berusia 10 bulan dengan cara memukul dan menggigit bayi lelaki itu dalam kejadian awal bulan lalu._Sinar Harian
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan ke atasnya.

MELAKA: Seorang peniaga burger tidak mengaku di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu atas pertuduhan mencederakan anaknya berusia 10 bulan dengan cara memukul dan menggigit bayi lelaki itu dalam kejadian awal bulan lalu.

Tertuduh, Wan Faddli Abd Saad, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera kepada anaknya dengan melakukan perbuatan itu sekitar jam 4 pagi, 6 Mei lalu.

Perbuatan itu dilakukan semasa berada di sebuah rumah beralamat di Lorong Abdullah Jalan AMJ, Semabok dalam daerah Melaka Tengah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dikenakan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kejadian itu dilaporkan isteri tertuduh.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai peniaga burger dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan ikat RM3,000 beserta syarat tambahan, sebutan semula ditetapkan 23 Jun depan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement