SHAH ALAM: Ayam dijual serendah RM10 dan beras pada harga RM12 antara tarikan utama Program Jualan Rahmah Madani – Jualan Mega Aidiladha 2026 anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
Program yang akan berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Mei 2026 ini diadakan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha bagi membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi, inisiatif berkenaan merupakan usaha berterusan PKPS dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Program ini memberi peluang kepada pengguna mendapatkan pelbagai barangan asas serta keperluan Aidiladha pada harga berpatutan dan lebih menjimatkan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan PKPS.
Jualan Mega Aidiladha ini akan diadakan di lapan lokasi terpilih sekitar Selangor bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.
Bagi 23 Mei, lokasi terlibat ialah:
- Dataran Bougainvilla, Kampung Sungai Kertas
- Perarangan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam
- Dataran Pantai Batu Laut
- Pejabat Parlimen Sabak Bernam, Bagan Nakhoda Omar
Manakala pada 24 Mei, jualan akan berlangsung di:
- Balai Penghulu Telok Panglima Garang
- Pekarangan Flat Taman Kem, Pelabuhan Klang
- Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang
- Tapak Parkir Econsave Sungai Buloh
Antara barangan ditawarkan termasuk ayam, ikan, daging, beras, telur, minyak masak, tepung, bihun, sardin, biskut, sabun pencuci pakaian serta lampin pakai buang pada harga promosi.
Orang ramai yang ingin mendapatkan barangan tersebut disarankan membawa kad pengenalan bagi tujuan pendaftaran dan pengesahan, dengan pembelian tertakluk kepada stok semasa di lokasi terlibat.
Selain jualan fizikal, PKPS turut menawarkan Promo Raya Haji Ehsan Mart sebagai alternatif kepada pengguna untuk membuat persiapan Aidiladha.
Promosi tersebut berlangsung dari 15 hingga 31 Mei 2026 di tiga cawangan iaitu:
- Ehsan Mart Sungai Tua, Selayang
- Ehsan Mart Pandan Utama
- Ehsan Mart Taman Melawati
Antara produk yang ditawarkan termasuk kerang sejuk beku, cili giling, kerisik, rempah serta ayam goreng.
PKPS berharap inisiatif ini mampu membantu rakyat membuat persiapan Aidiladha dengan lebih mudah serta menjimatkan perbelanjaan.