CEBU: ASEAN sedang meneliti keperluan membangunkan rangka kerja praktikal bagi usaha stok simpanan minyak serantau sebagai langkah memperkukuh keterjaminan dan kesiapsiagaan tenaga jangka panjang.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia antara fokus perbincangan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong sempena Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-27 di Filipina.
Jelasnya, pertemuan itu turut menyentuh perkembangan semasa ekonomi serantau serta kesan ketegangan geopolitik yang semakin mempengaruhi perdagangan global dan rantaian bekalan antarabangsa.
“Kami bertukar pandangan mengenai kepentingan negara anggota ASEAN memainkan peranan lebih proaktif dan praktikal dalam memperkukuh daya tahan ekonomi serantau serta keselamatan tenaga,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Johari berkata, Malaysia dan Singapura berkongsi hubungan ekonomi yang rapat dan strategik, justeru kerjasama serantau yang lebih kukuh serta pendekatan pragmatik penting bagi memastikan ASEAN terus berdaya tahan.
Beliau berkata, pendekatan itu juga penting supaya ASEAN kekal relevan dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.