Skip to main content

Malaysia

'Arwah pegang baju sukan baharu berbalut plastik' - Lelaki sebak bantu angkat jenazah murid

Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, murid Tahun Dua yang maut selepas dilanggar van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong pada Selasa.
Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, murid Tahun Dua yang maut selepas dilanggar van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong pada Selasa.

BATU PAHAT: “Baju sukan baru masih berbalut plastik masih erat dipegang di tangannya”.

Itu perkongsian Kamarul Nizam Kamarudin, 36, antara individu yang membantu menguruskan jenazah Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, murid Tahun Dua yang maut selepas dilanggar van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong pada Selasa.

Kamarul Nizam berkata, selain keadaan mangsa yang menyentuh emosi, sehelai baju sukan yang masih berbalut plastik dan berada di tangan arwah menjadi perkara paling meruntun perasaan ketika kejadian.

“Saya tahan menangis ketika mengangkat jenazahnya kerana terbayang anak saya sendiri. Mereka sebaya walaupun bersekolah lain.

“Baju itu masih di tangannya… saya tak mampu bayangkan perasaan waktu itu,” katanya.

BACA: Murid tahun dua maut dilanggar van di hadapan sekolah

BACA: ‘Tak sanggup lihat jenazahnya kerana sangat parah’ – Ibu

BACA: 'Saya maafkan pakcik van yang langgar anak saya' - Bapa

Kamarul Nizam yang bekerja sebagai pekerja pembersihan berkata, ketika kejadian dia kebetulan dalam perjalanan ke pekan Parit Sulong sebelum ternampak kemalangan berlaku di hadapan sekolah berkenaan.

Tambahnya, tidak lama kemudian beliau diminta oleh pihak berkuasa untuk membantu mengangkat jenazah bagi tujuan siasatan di lokasi kejadian.

“Saya yang memusingkan badan arwah ketika itu… air mata hampir menitis kerana terbayang anak sendiri,” katanya lagi.

Dalam kejadian itu, murid Tahun Dua berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sekali gus mengundang kesedihan orang ramai yang berada di situ.

Jenazah Nur Aini Umairah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Mustaffa, dekat Parit Sulong, di sini pada malam Selasa.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum dibawa ke Masjid Jamek Kampung Parit Mustaffa untuk disolatkan.

Ibu mangsa, Asmilah Tukiran, 37, dilihat tidak dapat menahan kesedihan dan beberapa kali hampir pengsan sepanjang urusan menuntut jenazah anak sulungnya itu.

Ratusan ahli keluarga dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa yang dikebumikan bersebelahan pusara neneknya. - Sinar Harian

Must Watch Video