PUTRAJAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli berharap agar hari ini merupakan hari terakhir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangannya.
Menurut Rafizi, keterangan yang diambil setakat ini telah mencecah hampir 100 muka surat dan beliau berharap siasatan dapat diselesaikan dengan lancar.
“Saya ingat keterangan ini sudah boleh buat buku novel. Saya harap hari ini hari terakhir, berdasarkan kemajuan siasatan pandangan saya sebenarnya kita sudah masuk ke peringkat akhir,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus tiba pada jam 9.40 pagi di sini, hari ini.
Rafizi dilaporkan telah hadir ke SPRM sejak Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung perjanjian pelaburan kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings plc.
Rafizi turut mengulangi kenyataan bahawa kerjasama di antara syarikat tersebut dan kerajaan melibatkan keputusan bersama antara Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan.
Jelasnya, proses pada ketika itu melibatkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; serta beliau sendiri selaku Menteri Ekonomi, dengan mesyuarat berkaitan kerjasama itu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyentuh soal dua individu yang tidak dinamakan bakal dituduh berhubung siasatan kes ini di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (salah guna kuasa), Rafizi berkata beliau hanya menunggu keputusan siasatan dan Peguam Negara berhubung perkara tersebut.
“Saya fikir sama ada petang ini atau esok mungkin akan lebih clarity (penjelasan) tindakan apa yang bakal diambil dalam kes ini,” katanya.
Mengulas mengenai tempoh empat hari keterangan diambil, Rafizi berkata proses siasatan tertumpu ke arah soal prosedur dan rekod-rekod rasmi kerajaan sama ada keputusan dibuat secara tergesa-gesa ataupun tidak.
“Oleh kerana ini bukan keputusan satu kementerian, ia (adalah) keputusan kerajaan, ia melibatkan banyak mesyuarat, jawatankuasa dan melibatkan dokumen yang banyak,” katanya lagi.
Pada masa sama, Rafizi turut positif untuk menerangkan konteks setiap mesyuarat dan pemahaman mengenai dokumen-dokumen yang terlibat semasa diambil keterangan oleh SPRM.