KUALA LUMPUR: Desakan agar Datuk Seri Rafizi Ramli berundur daripada politik semakin memuncak apabila sekumpulan aktivis dan pengasas PKR mengadakan piket di hadapan pejabat Invoke Solutions milik Ahli Parlimen Pandan itu di Sungai Besi, hari ini.
Himpunan yang diketuai aktivis politik Faizan Mohd Nor bersama pengasas parti itu, Ng Lum Yong menyaksikan puluhan peserta berhimpun sambil membawa mesej tegas mendesak bekas Menteri Ekonomi berkenaan bersara sepenuhnya daripada dunia politik.
Selain berpiket, Faizan memaklumkan bahawa satu memorandum akan diserahkan kepada Rafizi bagi menuntut perkara sama.
Dalam satu kenyataan, Faizan mendakwa Rafizi telah gagal sebagai ahli politik dan menteri, justeru perlu mengambil tanggungjawab dengan berundur demi kestabilan negara.
"Cukup-cukuplah porak-perandakan negara ini demi cita-cita politik kamu, Rafizi. Selepas gagal menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan sebagai Menteri Ekonomi, kamu perlu bertanggungjawab dengan bersara," katanya.
Sebelum ini, Faizan turut menasihatkan Rafizi supaya bersara selepas pelbagai pihak melabelkannya sebagai menteri yang gagal serta liabiliti kepada partinya sendiri.
Menurutnya, bekas Timbalan Presiden PKR itu dianggap gagal menunaikan janji, malah mendakwa ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) berasa tertipu dengan janji yang dibuat sebelum PRU-15.
Sementara itu, Lum Yong mendakwa Rafizi merupakan antara menteri paling gagal sejak dilantik sebagai Menteri Ekonomi pada Disember 2022 sebelum meletakkan jawatan pada Jun 2025.
Bagaimanapun, Rafizi sebelum ini mendakwa wujud naratif tersusun bagi melabelkan dirinya sebagai 'menteri paling gagal' yang kini giat dimainkan di pelbagai platform sejak kebelakangan ini.