Skip to main content

Malaysia

AKPS gagalkan cubaan seludup minuman keras

FB Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan BSI
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar menggagalkan cubaan menyeludup masuk minuman keras bernilai RM110,652.76 termasuk cukai selepas memeriksa sebuah van perdagangan dari Singapura, semalam. - Foto Facebook AKPS

JOHOR BAHRU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar menggagalkan cubaan menyeludup masuk minuman keras bernilai RM110,652.76 termasuk cukai selepas memeriksa sebuah van perdagangan dari Singapura, semalam.

AKPS dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan yang dijalankan telah mendapati terdapat penumpang dalam kenderaan, sedangkan hanya pemandu sahaja dibenarkan menggunakan laluan pemandu bas arah ketibaan dari negara berkenaan, pada 3.20 petang.

"Kedua-dua pemandu dan penumpang van, warga tempatan berusia 38 serta 43 tahun enggan memberikan kerjasama dengan tidak beri sebarang reaksi apabila disoal," menurut kenyataan itu.

Menurut AKPS, hasil pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah kotak ditutup dengan kain hitam, yang mengandungi 888 botol minuman keras pelbagai jenama yang tidak diisytiharkan dan cuba diseludup masuk. 

Minuman keras yang dirampas bernilai RM17,328.50, manakala nilai cukai terlibat ialah RM93,324.26, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM110,652.76. 

"Semua minuman keras terbabit telah disita dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan, serta tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video