PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik di lebuh raya kendaliannya meningkat sehingga 2.3 juta kenderaan sehari sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, berkata angka itu menunjukkan peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding tahun lalu, susulan pertambahan pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman.
Menurut beliau, bagi memastikan perjalanan lebih lancar, PLUS telah merangka beberapa langkah strategik termasuk pengagihan trafik melalui Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang boleh dirancang pengguna menerusi aplikasi MyPLUS-TTA.
Selain itu, sebanyak 34 lokasi SmartLane akan diaktifkan di lebuh raya utama bagi membantu melancarkan aliran trafik, dan tiada penutupan lorong dijangka berlaku sepanjang tempoh perayaan.
Dalam masa sama, PLUS turut memberi perhatian terhadap kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bagi memastikan keselesaan pengguna lebuh raya sepanjang musim perayaan.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar, kira-kira 6,000 petugas khas akan ditempatkan di seluruh rangkaian lebuh raya kendalian PLUS bagi membantu mengurus aliran trafik serta memberi bantuan kepada pengguna sekiranya berlaku kecemasan.
Orang ramai juga disaran merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi Cadangan Waktu Perjalanan yang disediakan bagi mengelakkan kesesakan terutama pada waktu puncak.