Skip to main content

Malaysia

Agong, Raja Permaisuri dikurniakan cucunda ketujuh

KUALA LUMPUR, 21 Mac -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan bergambar sebelum berangkat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dikurniakan cucunda yang ketujuh selepas Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, selamat melahirkan seorang puteri pada Ahad. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dikurniakan cucunda yang ketujuh selepas Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, isteri Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, selamat melahirkan seorang puteri pada Ahad (5 April).

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar disertakan pengumuman rasmi Jumaah Majlis DiRaja Johor, puteri itu merupakan anakanda kelima Tunku Mahkota Ismail.

Pengumuman Diraja itu dibuat oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli hari ini.

 

Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan puterinya berada dalam keadaan sihat walafiat, menurut kenyataan itu.

Jumaah Majlis DiRaja Johor turut menzahirkan doa agar Allah SWT mengurniakan kesihatan, keceriaan dan keberkatan berterusan kepada Kerabat DiRaja Johor.

Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor diijab kabul dengan Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene pada 24 Okt 2014.

Pasangan diraja itu kini dikurniakan lima cahaya mata iaitu dua putera dan tiga puteri.

-- BERNAMA

Must Watch Video