Skip to main content

Dunia

YouTube tamatkan saluran pro‑Iran hasilkan video AI persenda Trump

x@ExplosiveMediaa
Kumpulan Explosive Media menjadi perhatian selepas menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan video estetik blok mainan Lego yang memaparkan senario politik dramatik, termasuk menggambarkan kemenangan tentera Iran ke atas AS dan Israel. -Gambar X Explosive Media

SAN BRUNO: Platform penstriman video YouTube bertindak menamatkan saluran milik sebuah kumpulan pro-Iran, Explosive Media, yang menghasilkan siri video tular gaya Lego bagi mempersendakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Jurucakap YouTube dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa saluran tersebut ditamatkan secara kekal selepas didapati melanggar dasar platform berkaitan spam, amalan memperdaya dan penipuan.

Saluran berkenaan sebelum ini telah digantung buat sementara pada 27 Mac lalu sebelum tindakan penamatan sepenuhnya dikuatkuasakan pada Rabu.

Kumpulan Explosive Media menjadi perhatian selepas menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan video estetik blok mainan Lego yang memaparkan senario politik dramatik, termasuk menggambarkan kemenangan tentera Iran ke atas AS dan Israel.

Meskipun kumpulan tersebut mendakwa mereka merupakan pasukan media bebas kendalian pelajar, penganalisis keselamatan melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya kaitan dengan kerajaan Iran bagi tujuan peperangan maklumat.

Dalam pada itu, Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei mengecam tindakan YouTube  dan menyifatkannya sebagai usaha menyekat kebenaran serta melindungi naratif palsu pentadbiran AS berhubung konflik di Asia Barat.

Walaupun saluran YouTube tersebut telah dipadamkan, kandungan video terbabit dilaporkan masih boleh diakses melalui platform media sosial lain seperti X, Telegram dan TikTok.

 

 

Langkah YouTube ini diambil ketika syarikat teknologi gergasi itu mempertingkatkan pemantauan terhadap "slopaganda", iaitu kandungan propaganda politik kos rendah yang dijana AI untuk membanjiri media sosial semasa krisis geopolitik.

Must Watch Video