GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata dalam satu hantaran di media sosial pada Jumaat bahawa sokongan segera diperlukan bagi sistem kesihatan di lima negara di Asia Barat yang terjejas akibat konflik iaitu Lubnan, Iran, Iraq, Syria dan Jordan, lapor Xinhua.
Tedros berkata sistem kesihatan di negara terjejas berada “di bawah tekanan teruk” selepas keganasan yang terus meningkat selama berminggu-minggu.
WHO telah melancarkan rayuan segera bernilai AS$30.3 juta untuk menyokong tindak balas kesihatan terhadap konflik yang semakin meruncing di Asia Barat, dengan tumpuan kepada lima negara berkenaan.
Rayuan itu meliputi tempoh dari Mac hingga Ogos 2026.
Ia bertujuan mengekalkan perkhidmatan kesihatan asas dan rawatan trauma, memperkukuh pengawasan penyakit serta sistem amaran awal, meningkatkan pengurusan mangsa secara besar-besaran, dan menambah baik kesiapsiagaan negara bagi kecemasan kimia, biologi, radiologi dan nuklear, kata Tedros.
Menurut WHO, setakat 31 Mac, serangan yang berterusan di Asia Barat menyebabkan lebih empat juta orang kehilangan tempat tinggal, dengan lebih 3,300 kematian dan 30,000 kecederaan.
-- BERNAMA-XINHUA