Skip to main content

Dunia

WHO gantung pemindahan perubatan dari Gaza selepas petugas terbunuh

Egyptian ambulances go through the Rafah border crossing on the Egyptian side in Rafah, Egypt, February 10, 2026. Picture taken with a mobile phone. REUTERS/Stringer
Pemindahan perubatan pesakit dari Gaza melalui Rafah ke Mesir digantung sehingga dimaklumkan kelak. - Gambar fail/ Reuters

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggantung operasi pemindahan perubatan dari Semenanjung Gaza melalui lintasan sempadan Rafah pada Isnin susulan kematian seorang petugas kontrak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata organisasi itu mengesahkan bahawa seorang petugas kontrak terbunuh dalam satu insiden keselamatan.

“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, insan tersayang dan rakan sekerja mangsa. 

"Insiden itu sedang disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan,” kata beliau di platform media sosial X.

Beliau berkata dua kakitangan WHO turut berada di lokasi kejadian, namun tidak mengalami kecederaan.

Pemindahan perubatan pesakit dari Gaza melalui Rafah ke Mesir digantung sehingga dimaklumkan kelak.

“Kami amat menghargai rakan sekerja kami yang bekerja siang dan malam walaupun berdepan risiko bagi memastikan penduduk Gaza mendapat akses kepada rawatan kesihatan yang mereka perlukan.

“Kami menyeru agar orang awam dan petugas kemanusiaan dilindungi. Keamanan adalah jalan terbaik,” kata Tedros.

Susulan kemusnahan hospital akibat serangan Israel, penduduk Gaza kini berdepan kesukaran untuk mendapatkan rawatan yang mencukupi.

Rafah ialah satu-satunya lintasan sempadan keluar dari Semenanjung Gaza yang tidak melalui wilayah Israel.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video