Skip to main content

Malaysia

Kes kebakaran terbuka meningkat dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini - JBPM

Kebakaran hutan di Desaru-Pengerang: 60 peratus kawasan masih terbakar
Kebakaran belukar menyumbang lebih 80 peratus daripada keseluruhan kes, sekali gus menjadi isu utama yang memerlukan perhatian serius. - Gambar fail/JBPM

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan peningkatan ketara kes kebakaran hutan, belukar, serta kebun atau ladang di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 31 Mac tahun ini, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 12,938 kes.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 9,941 kes yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan kebakaran terbuka itu dipengaruhi keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.

“Kes kebakaran belukar menjadi penyumbang utama tahun ini dengan sebanyak 11,147 kes, diikuti kebakaran hutan (1,047) serta kebun atau ladang (744),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Izram berkata kebakaran belukar menyumbang lebih 80 peratus daripada keseluruhan kes, sekali gus menjadi isu utama yang memerlukan perhatian serius.

Beliau berkata peningkatan kes kebakaran tahun ini dipercayai berpunca daripada beberapa faktor, termasuk cuaca panas dan kering, aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal serta kurangnya pemantauan di kawasan berisiko tinggi.

“Bagi kebakaran hutan, Selangor mencatat jumlah tertinggi, iaitu 337 kes, diikuti Kelantan (123), Pulau Pinang (121), Sabah (113) dan Kedah (102), manakala bagi kebakaran belukar Kedah mencatat jumlah tertinggi, iaitu 2,524 kes, diikuti Johor (1,886), Melaka (1,010), Kelantan (937) dan Perak (759).

“Bagi kebakaran kebun atau ladang pula, Johor merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 359 kes, diikuti Selangor (165), Perak (54), Kedah (29) dan Kelantan (25),” katanya.

Beliau berkata bagi menangani isu itu, beberapa langkah dicadangkan termasuk memperketat penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka, meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko, memperhebat kempen kesedaran awam serta menggunakan teknologi seperti dron dan sistem amaran awal.

“Selain itu, kerjasama antara agensi berkaitan juga perlu diperkukuh bagi memastikan usaha pencegahan lebih berkesan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video