GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa pembangunan vaksin bagi wabak Ebola jenis Bundibugyo berkemungkinan mengambil masa sehingga sembilan bulan, ketika jumlah kes dan kematian terus meningkat.
Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, sebanyak 600 kes disyaki dan 139 kematian dilaporkan setakat ini, dengan angka sebenar dijangka lebih tinggi berikutan kelewatan pengesanan virus.
Sebanyak 51 kes telah disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC), pusat utama wabak di wilayah Ituri, manakala dua kes dilaporkan di Uganda - termasuk satu kematian melibatkan individu yang pernah mengembara dari DRC.
WHO sebelum ini telah mengisytiharkan darurat kesihatan awam antarabangsa, namun menegaskan situasi tersebut masih belum mencapai tahap pandemik.
Risiko wabak dinilai tinggi di peringkat nasional dan serantau, tetapi rendah di peringkat global.
Dua vaksin percubaan sedang dibangunkan, namun belum menjalani ujian klinikal.
Pakar WHO menyatakan vaksin paling berpotensi mungkin mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan sebelum boleh digunakan.
Situasi di lapangan semakin membimbangkan apabila fasiliti kesihatan dilaporkan sesak dan kekurangan perlindungan mencukupi, sementara jangkitan dalam kalangan petugas perubatan turut dilaporkan.
Wabak Ebola jenis Bundibugyo ini jarang berlaku dan tiada vaksin khusus diluluskan setakat ini, menjadikannya lebih mencabar untuk dikawal meskipun kadar kematiannya lebih rendah berbanding strain lain.