DUBAI: Agensi Angkasa Lepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa mengumumkan pelanjutan Emirates Mars Mission (EMM) sehingga 2028, lapor Xinhua memetik akhbar harian tempatan Al Etihad.
Misi berkenaan, yang dijalankan oleh Hope Probe, pada asalnya dilancarkan sebagai projek dua tahun dan telah memasuki orbit Marikh pada 2021.
Pelanjutan itu bertujuan memaksimumkan pulangan saintifik ke atas pelaburan angkasa lepas UAE serta menimba pengalaman operasi berharga bagi misi angkasa lepas jauh pada masa hadapan.
Sejak tiba di Marikh, Hope Probe mengumpul kira-kira 10 terabait data, yang telah dikongsikan dalam 16 set data dengan lebih 200 institusi penyelidikan di seluruh dunia.
Misi itu juga telah menyokong penemuan perintis, termasuk pemerhatian baharu mengenai aktiviti aurora Marikh serta penerbangan jarak dekat merentasi Deimos, iaitu bulan luar Marikh yang lebih kecil.
Pada Oktober 2025, probe itu meluaskan skop saintifiknya dengan merakam imej Komet 3I/ATLAS, objek antara bintang ketiga yang diketahui merentasi sistem suria kita, sekali gus menawarkan peluang jarang ditemui untuk mengkaji bahan dari luar sistem suria.
Pihak berkuasa berkata keputusan itu menunjukkan keyakinan terhadap kesediaan teknikal probe serta keupayaan pasukan kebangsaan, di samping menyokong pertumbuhan pesat ekosistem angkasa lepas UAE melalui penyelidikan yang diperluas dan pendidikan aeroangkasa.
-- BERNAMA-XINHUA