Skip to main content

Dunia

Trump letak wajah sendiri dalam pasport Amerika Syarikat

Sumber: X/Department of State
Foto rasmi Trump diletakkan di atas latar Pengisytiharan Kemerdekaan, lengkap dengan tandatangannya berwarna emas di bahagian bawah. - Gambar X @StateDept

WASHINGTON: Gambar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijangka dipaparkan dalam sebahagian pasport negara itu, sekali gus mencetuskan kontroversi apabila satu lagi norma lama dipecahkan, ketika beliau semakin agresif meletakkan ‘cap peribadi’ ke atas institusi kerajaan.

Jabatan Negara AS pada Selasa (28 April) mengesahkan, ia akan menawarkan pasport edisi khas sempena ulang tahun ke-250 Pengisytiharan Kemerdekaan AS tahun ini, susulan laporan oleh Fox News dan The Bulwark.

Menurut laporan itu, pasport edisi terhad berkenaan akan menampilkan dua imej khas.

Satu daripadanya memaparkan foto rasmi Trump yang diletakkan di atas latar Pengisytiharan Kemerdekaan, lengkap dengan tandatangannya berwarna emas di bahagian bawah.

Satu lagi imej pula menunjukkan lukisan bersejarah yang menggambarkan bapa-bapa pengasas AS.

“Ketika Amerika Syarikat menyambut ulang tahun ke-250 pada Julai ini, Jabatan Negara sedang bersedia mengeluarkan sejumlah terhad pasport AS dengan reka bentuk khas bagi memperingati detik bersejarah itu,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott, menerusi hantaran di platform X.

Seorang lagi pegawai Jabatan Negara, yang enggan dikenali berkata, pasport bertemakan Trump itu hanya akan ditawarkan di Washington “selagi stok masih ada” dan tidak melibatkan sebarang kos tambahan.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada pemohon pasport mempunyai pilihan untuk menolak edisi khas tersebut.

Langkah itu dilihat luar biasa, memandangkan hampir tiada preseden moden di dunia, lebih-lebih lagi dalam negara demokrasi, yang memaparkan gambar pemimpin semasa di dalam pasport. 

Kebanyakan negara lazimnya memilih imej berunsur sejarah atau alam semula jadi.

Ketika ini, pasport AS memaparkan pelbagai adegan penting dalam sejarah negara itu, termasuk pendaratan manusia di bulan serta mercu tanda ikonik seperti Patung Liberty.

Sejak kembali memegang jawatan tahun lalu, Trump dilihat semakin kerap meletakkan nama dan imejnya pada institusi kerajaan dalam skala yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Beberapa bangunan kerajaan di Washington dilaporkan memasang sepanduk memaparkan imej Presiden, manakala namanya turut ditambah pada Pusat Kennedy serta Institut Keamanan AS yang telah dibubarkan.

Bulan lalu, Jabatan Perbendaharaan AS juga mengumumkan tandatangan Trump akan mula muncul pada wang kertas dolar, sekali gus mencatat satu lagi sejarah baharu.

Sebagai perbandingan, Britain dan negara-negara Komanwel lain memaparkan imej Raja Charles III pada mata wang mereka, namun raja berkenaan merupakan ketua negara yang tidak terlibat secara langsung dalam politik harian. - Agensi

Must Watch Video