Skip to main content

Dunia

Trump cadang "perubahan rejim" di Iran, dakwa rundingan diadakan, Tehran nafi

A firefighter hoses down smoldering rubble as a bulldozer clears debris at a residential building hit in an earlier U.S.-Israeli strike in Tehran, Iran, Monday, March 23, 2026. (AP Photo/Vahid Salemi)
Seorang anggota bomba cuba memadamkan api sementara sebuah jentolak membersihkan sisa kemusnahan di sebuah bangunan kediaman yang terkena serangan terdahulu oleh AS–Israel di Tehran, Iran. - Foto AP

ANKARA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin mendakwa Washington telah mengadakan perbincangan “intensif” dengan pihak berkuasa Iran, dakwaan yang dinafikan oleh Tehran, dan dilaporkan turut menyatakan “perubahan rejim” sedang berlaku di Iran, lapor Anadolu Ajansi memetik media AS.

Dalam temu bual telefon, Trump “menegaskan … bahawa apa yang sedang berlaku di Iran boleh disifatkan sebagai perubahan rejim,” menurut CNBC.

Dalam temu bual itu, presiden AS berkenaan memberi isyarat perubahan besar dalam usaha menyelesaikan konflik yang telah berlarutan selama tiga minggu, walaupun butiran mengenai rundingan yang didakwa itu masih tidak jelas, termasuk siapa yang terlibat serta bagaimana atau di mana ia diadakan.

Tehran menolak secara tegas dakwaan Trump mengenai rundingan itu, dengan pegawai Iran berulang kali menegaskan bahawa tiada sebarang rundingan sedang berlangsung.

Trump memberitahu CNBC sejurus selepas hantaran di Truth Social bahawa AS “sangat berhasrat” untuk mencapai perjanjian dengan Iran dan menyuarakan harapan bahawa sesuatu yang substantif dapat dicapai melalui rundingan berkenaan.

Laporan itu menyusuli pengumuman terdahulu di Truth Social bahawa beliau telah mengarahkan pihak tentera menangguhkan serangan ke atas loji tenaga dan infrastruktur tenaga Iran selama lima hari bagi memberi ruang kepada kemungkinan kemajuan diplomatik.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video