Skip to main content

Dunia

Thailand dapat kebenaran Iran untuk kapal tangki minyak lalu Selat Hormuz

Oil tankers and cargo ships line up in the Strait of Hormuz as seen from Khor Fakkan, United Arab Emirates, Wednesday, March 11, 2026. (AP Photo/Altaf Qadri)
Thailand telah mendapat kebenaran daripada Iran bagi membolehkan sebuah daripada kapal tangki minyaknya melalui Selat Hormuz susulan penyelarasan antara kedua-dua negara. - Gambar fail

BANGKOK: Thailand telah mendapat kebenaran daripada Iran bagi membolehkan sebuah daripada kapal tangki minyaknya melalui Selat Hormuz susulan penyelarasan antara kedua-dua negara.

Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow berkata Kementerian Luar telah menyerahkan nama dua buah kapal - satu milik Bangchak Corporation dan sebuah lagi dikendalikan oleh SCG Chemicals - kepada pihak berkuasa Iran.

Beliau berkata Iran telah memberikan pelepasan kepada kapal tangki minyak Bangchak untuk melalui Selat Hormuz dan kembali ke Thailand.

"Difahamkan pada 23 Mac bahawa kapal Bangchak telah selamat melepasi Selat Hormuz dan kini dalam pelayaran pulang ke Thailand.

"Pihak berkuasa Thailand juga sedang mengusahakan kebenaran serupa untuk kapal SCG Chemicals selepas menyerahkan butiran berkaitan kepada Iran," katanya kepada pemberita dalam satu taklimat media pada Selasa.

Mengenai usaha membantu tiga anak kapal warga Thailand daripada kapal kargo Mayuree Naree, Sihasak berkata pihak berkuasa masih berharap ketiga-tiga warga negara itu masih hidup, namun pengesahan perlu diperoleh daripada pegawai Iran atau Oman.

Beliau berkata kementerian dimaklumkan pada pagi Selasa bahawa Iran dan Oman telah menjalankan operasi bersama untuk menaiki kapal berkenaan.

"Pihak berkuasa telah sampai ke kapal terbabit dan berjaya menghubungi ketiga-tiga anak kapal, walaupun keadaan mereka masih belum dapat disahkan dan sedang dalam proses pengesahan," katanya.

Pada 11 Mac, kapal kargo yang mengibarkan bendera Thailand itu telah diserang di Selat Hormuz, menyaksikan 20 anak kapal berjaya diselamatkan manakala tiga lagi dilaporkan hilang.

Menurut laporan, Mayuree Naree telah berlepas dari Pelabuhan Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dalam pelayaran ke Pelabuhan Kandla di Gujarat, India, apabila ia terkena bedilan yang mencetuskan letupan di bahagian buritan dan bilik enjin serta mengakibatkan kebakaran.

Insiden itu berlaku di tengah-tengah ketegangan serantau yang memuncak ketika konflik semakin sengit di sekitar laluan air strategik berkenaan, yang membawa sebahagian besar penghantaran minyak global.

-- BERNAMA

Must Watch Video