Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Filipina isytihar darurat tenaga gangguan bekalan minyak

KUALA LUMPUR, Oct 29 -- Philippine President Ferdinand R. Marcos Jr speaks to Bernama in an interview during the 47th ASEAN Summit and Related Summits at the Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yesterday.  --fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED
Situasi di Asia Barat telah menjejaskan rantaian penghantaran produk petroleum sekali gus mengganggu keperluan tenaga domestik negara, ujar Presiden Marcos.

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr. mengisytiharkan darurat tenaga susulan konflik di rantau Asia Barat yang semakin memuncak.

Menerusi Arahan Eksekutif 110 yang ditandatanganinya hari ini, beliau berkata Filipina bergantung kepada bekalan bahan api dari luar negara dan terdedah kepada gangguan dalam pengeluaran serta pengangkutan minyak global.

Tegasnya, situasi itu menjejaskan rantaian penghantaran produk petroleum sekali gus mengganggu keperluan tenaga domestik negara.

“Darurat tenaga peringkat nasional dengan ini diisytiharkan susulan konflik berterusan di Asia Barat, serta ancaman segera yang menjejaskan ketersediaan dan kestabilan bekalan tenaga negara,” katanya.

Beliau menambah, Kementerian Tenaga berpandangan langkah tersebut perlu diambil kerana paras bekalan tenaga kini menghampiri tahap kritikal.

Arahan itu turut menetapkan pembentukan satu jawatankuasa bagi mengelola Pakej Bersepadu untuk Sara Hidup, Industri, Makanan dan Pengangkutan (UPLIFT).

UPLIFT bertujuan melindungi kepentingan negara dengan memastikan kestabilan bekalan tenaga domestik, penyampaian perkhidmatan penting yang berterusan tanpa gangguan, serta kelangsungan aktiviti ekonomi.

Inisiatif ini melibatkan tujuh setiausaha kabinet, dengan Marcos bertindak sebagai pengerusinya.

Terdahulu media melaporkan, lebih 400 stesen minyak di seluruh Filipina telah menghentikan operasi susulan kenaikan harga bahan api.

Semalam, nota penyelidikan, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menyatakan pendedahan import minyak mentah Filipina mencecah 95 peratus dan diikuti oleh Vietnam sebanyak 88 peratus dan Malaysia 69 peratus.

Sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, bekalan minyak dunia mula terjejas dengan ketara susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

Perang Iran mencetuskan gangguan terbesar dalam sejarah pasaran minyak global, khususnya akibat gangguan di Selat Hormuz. 

Sehingga Mac 2026, kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia yang melalui laluan strategik itu terancam, sekali gus menyebabkan harga minyak global melonjak sekitar 50 peratus.

Topic Berkaitan

Must Watch Video