KUALA LUMPUR: Amalan tradisi meugang yang sinonim untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan dilihat suram bagi warga Aceh yang mengharungi kehidupan pasca banjir besar sejak tiga bulan lalu.
Pengetua Madrasah Zawiyah Darut Tarbiyah di Samalanga, Ahmad Nazer Idris, berkata, hari meugang kebiasaannya dinanti warga Aceh untuk membeli daging lembu dan kambing sebagai juadah makan malam bersama keluarga sehari sebelum ibadah puasa bermula.
“Apa yang ada kita makan bersama-sama keluarga dan semua ahli keluarga di perantauan akan pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Beliau yang juga aktif memberi sumbangan kepada mangsa banjir menegaskan, rata-rata masyarakat masih melalui fasa pemulihan trauma terutama melibatkan kanak-kanak yang telah kehilangan tempat tinggal di bawa arus deras semasa kejadian pada 26 November lalu.
Menurutnya, ada warga yang tinggal di rumah saudara mereka namun, majoriti masih tinggal di asrama penempatan sementara (Huntara) dan khemah-khemah kuning yang diberikan oleh Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Namun, Ahmad Nazer berkata sejak beberapa hari lalu sebilangan penduduk mula pulang ke kediaman masing-masing meskipun masih dipenuhi lumpur setinggi satu hingga dua menter.
“Keadaan di khemah panas, tambahan pula sekarang nak masuk musim kemarau, walaupun ada sebahagian rumah yang masih ditenggelami lumpur namun mereka tetap pulang ke rumah,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Nazer menyatakan sesi persekolahan telah bermula sebulan lalu dalam keadaan serba daif apabila kebanyakan madrasah dan sekolah agama hanya dapat dipulihkan sekitar 70 peratus.
“Ada sebahagian madrasah di mana para pelajarnya melalui sesi pembelajaran di khemah kerana madrasah masih ditenggelami air,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan pelajar kini pergi ke sekolah tanpa pakaian seragam dan diberi kelonggaran untuk memakai pakaian sedia ada.
Ahmad Nazer turut berkongsi dilema dalam kalangan penduduk yang kehilangan tanah akibat kejadian tanah runtuh yang menyebabkan proses penggantian tanah menjadi sulit.
Menurutnya, sebahagian penduduk menjana pendapatan harian sebagai petani di ladang majikan dan tidak memilki tanah serta pekerjaan yang tetap.
“Sebahagian mangsa bukan sahaja kehilangan rumah, malah kehilangan tanah sepenuhnya…Inilah antara cabaran besar yang mereka hadapi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Lorong, Desa Alue Ie Merah, Samwil berkata beberapa kawasan kritikal kini kurang menerima kunjungan sukarelawan berbanding awal bencana.
“Lawatan daripada para sukarelawan makin ‘menipis’, berbeza daripada dua bulan lalu,” katanya.
Samwil turut menyeru sumbangan barangan asas daripada pihak tempatan dan antarabangsa, khususnya keperluan Ramadan, supaya umat Islam di kawasan terjejas dapat menjalani ibadah dengan tenang walaupun masih bergelut dengan suasana pasca banjir.
Beliau juga memohon agar bantuan berupa barangan elektrik dapat disalurkan seperti pembesar suara, sistem audio serta kipas untuk kegunaan masjid.
“Keperluan utama kami adalah kelengkapan untuk berbuka puasa, seperti sirap, kurma, gula, kacang hijau dan barangan keperluan lain,” katanya.