Skip to main content

Dunia

Had pengambilan pelajar luar negara dinaikkan di tiga universiti Jepun untuk tarik bakat global

71590479764_Student.jpg
Langkah itu bertujuan melahirkan bakat global bagi meningkatkan daya saing Jepun memandangkan persaingan untuk menarik pelajar luar negara yang cemerlang kini semakin sengit. - Gambar hiasan

TOKYO: Kementerian Pendidikan Jepun akan membenarkan tiga universiti menerima pelajar antarabangsa melebihi had pengambilan sedia ada di bawah sistem pengecualian baharunya untuk menarik bakat global di tengah-tengah persaingan antarabangsa yang semakin sengit, lapor Agensi Berita Kyodo.

Kementerian itu memaklumkan pada Selasa sebanyak 11 fakulti di Universiti Tohoku, Universiti Tsukuba dan Universiti Hiroshima bakal dibenarkan meningkatkan bilangan pelajar asing bermula tahun kewangan 2026 pada April depan. Ini merupakan pemberian pengecualian pertama sejak sistem berkenaan diperkenalkan tahun lepas.

Fakulti yang terlibat ialah Fakulti Sains di Universiti Tohoku, tujuh sekolah termasuk kemanusiaan dan budaya di Universiti Tsukuba serta tiga fakulti berkaitan sains di Universiti Hiroshima.

Langkah itu bertujuan melahirkan bakat global bagi meningkatkan daya saing Jepun memandangkan persaingan untuk menarik pelajar luar negara yang cemerlang kini semakin sengit.

Sebelum ini, universiti berhadapan penalti jika melebihi had pengambilan yang ditetapkan, sekali gus menjadi cabaran untuk menerima pelajar antarabangsa secara aktif.

Fakulti yang mendapat pensijilan pengecualian khas itu dibenarkan meningkatkan enrolmen maksimum mereka sebanyak lima peratus melebihi had sedia ada.

Syarat-syarat untuk mendapatkan pensijilan termasuklah mengekalkan kadar enrolmen sekurang-kurangnya 90 peratus dan mempunyai kedudukan kewangan yang stabil.

Tiga daripada lapan universiti yang memohon pada musim luruh tahun lepas telah diberikan pengecualian khas itu selepas melalui proses saringan oleh pakar.

-- BERNAMA-KYODO

Must Watch Video