Skip to main content

Malaysia

Jangan rugikan Ramadan dengan perbalahan politik kepartian – Pensyarah UIAM

71650169132_TBbukapuasa.jpg
Umat Islam di Malaysia akan mula menjalani ibadah puasa sempena bulan Ramadan pada Khamis. - Gambar hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR:

Orang ramai diingatkan agar tidak merugikan bulan Ramadan dengan perbalahan politik kepartian. 

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Quran Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin menegaskan, lebih baik mengejar akhirat yang pasti berbanding berhabis masa dan tenaga untuk isu politik yang tiada kepastian. 

"Ramadan ada adab dan tatasusila yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Ini akan menjadi bekalan kita di akhirat. Politik itu boleh jadi hari ini berkawan, esok bermusuh. 

“Janganlah kita rugikan akhirat yang pasti, kita akan pergi dengan politik kepartian yang tidak pasti; boleh berubah dalam masa 24 jam. 

“Letakkan dalam minda, hati dan perasaan bahawa akhirat itu lebih utama dan penting untuk menjaga tatasusila dalam bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Tambahnya, individu yang berselindung di sebalik kata-kata manis atau provokasi berlapik tidak terlepas daripada pengetahuan Allah. Abu Hafiz menasihatkan agar bulan Ramadan ini ditumpukan kepada ibadah dan membenih amalan kebajikan untuk manfaat di akhirat.

“Hal-hal seperti ini yang akhirnya dengan satu niat iaitu memunculkan perdebatan yang hangat dan akan merosakkan suasana ibadah dalam bulan Ramadan yang (sepatutnya) tenang, tiada pergaduhan, tiada maki-hamun dan sebaran hal yang mencetus hal-hal yang negatif. 

“Kita mungkin bangkitkan persoalan dan provokasi secara berlapik. Tetapi Allah SWT mempunyai ilmu dan pengetahuan yang mendalam mengenai perkara yang kita lakukan.

“Sebab itu, Rasulullah SAW dalam hadis yang masyhur dan sahih menyatakan setiap orang akan dinilai daripada apa yang diniatkan, dan seseorang itu akan dihukum berdasarkan niat,” ujarnya.

Umat Islam di Malaysia akan mula menjalani ibadah puasa sempena bulan Ramadan pada Khamis.

Must Watch Video