Skip to main content

Dunia

TikTok lancar Family Digital Check-In Guide di Singapura, galak keselamatan dalam talian

61769153037_TikTok.jpg
Panduan itu bertujuan membantu keluarga menilai tabiat digital mereka dan mengambil langkah praktikal ke arah pengalaman dalam talian yang lebih selamat secara bersama. - Gambar fail

SINGAPURA: TikTok melancarkan Family Digital Check-In Guide di Singapura, iaitu panduan praktikal yang bertujuan menggalakkan navigasi digital secara selamat.

Panduan itu bertujuan membantu keluarga menilai tabiat digital mereka dan mengambil langkah praktikal ke arah pengalaman dalam talian yang lebih selamat secara bersama.

Dibangunkan dengan kerjasama TOUCH Cyber Wellness, panduan itu berteraskan dua komponen utama iaitu Family Digital Check-In Guide dan Interactive Digital Hub.

“Menyedari bahawa setiap remaja dan keluarga menelusuri dunia digital secara berbeza, inisiatif ini menggalakkan perbualan terbuka dan bukannya syarahan sehala,” menurut TikTok dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pengurus Jangkauan dan Perkongsian Trust and Safety TikTok, KahnJi Siriprapa Weerachaising berkata, platform itu berharap dapat menyokong keluarga di Singapura dengan sumber praktikal yang menjadikan perbualan keluarga lebih mudah didekati dan relevan.

“Bagi kebanyakan keluarga pada masa ini, kehidupan digital tidak lagi terpisah daripada kehidupan seharian, sebaliknya menjadi ruang golongan muda belajar, bersosial, berkarya dan mengenali diri mereka.

“Itulah sebabnya membina tabiat digital yang lebih sihat memerlukan lebih daripada sekadar peraturan. Ia memerlukan perbualan terbuka, saling memahami dan alat praktikal yang boleh diterokai bersama oleh keluarga,” katanya.

Family Digital Check-In Guide itu melengkapi sumber di Safety Centre TikTok, termasuk Guardian's Guide dan Teen Safety Centre, bagi menyediakan alat setempat kepada keluarga di Singapura untuk membantu menetapkan sempadan digital yang positif secara bersama.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement