Skip to main content

Dunia

'Thalapathy' Vijay sah angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu pada Ahad

Chennai, Tamil Nadu: After TVK Chief Vijay proved his majority, Governor Rajendra Arlekar officially declared him as the Chief Minister of Tamil Nadu and handed over the order appointing him.
Lok Bhavan Tamil Nadu mengarahkan Vijay untuk mendapatkan undi percaya di Dewan Undangan Negeri pada atau sebelum Rabu ini. - Gambar X IANS

SELEPAS beberapa hari menyaksikan episod 'tarik tali' dalam rundingan pembentukan kerajaan negeri, pelakon terkenal, Vijay akhirnya dilantik sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu. 

Menurut kenyataan Lok Bhavan Tamil Nadu, Presiden Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) itu akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada majlis yang akan berlangsung di Stadium Nehru, Chennai pada pukul 10 pagi waktu tempatan, (12.30 tengah hari, waktu Malaysia), Ahad. 

"Gabenor Tamil Nadu berkenan melantik C Joseph Vijay sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu dan menjemput beliau untuk membentuk barisan kementerian negeri," menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Sabtu. 

Watikah pelantikan itu diberikan kepada Vijay selepas menghadap Gabenor Tamil Nadu, Rajendra Vishwanath Arlekar di Lok Bhavan, Chennai pada Sabtu. 

Lok Bhavan Tamil Nadu memberitahu, dalam pertemuan itu, Vijay menyerahkan surat sokongan daripada Kongres Kebangsaan India (INC), Parti Komunis India (CPI), Parti Komunis India (Marxist), Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK) dan Indian Union Muslim League (IUML) untuk membentuk kerajaan di bawah kepimpinannya.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, Vijay yang juga dikenali sebagai 'Thalapathy' (ketua) dalam kalangan peminatnya diarahkan mendapatkan undi percaya di Dewan Undangan Negeri pada atau sebelum Rabu ini. 

Dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, Vijay mencipta kejutan besar apabila TVK yang pertama kali bertanding berjaya memenangi 108 kerusi namun gagal mencapai majoriti mudah. 

Pelakon itu turut memenangi kerusi Perambur dan Tiruchirappalli East dan dijangka mengosongkan salah satu kerusi berkenaan mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya India. 

Keputusan tergantung yang diumumkan pada 4 Mei lalu mencetuskan rundingan intensif antara parti-parti politik, termasuk usaha Presiden Kongres mengadakan rundingan dengan pimpinan VCK dan IUML bagi mengukuhkan sokongan kepada TVK. 

Pada akhir tahun lalu, bintang tersohor berusia 52 tahun itu memilih Malaysia untuk majlis pelancaran audio filem terakhir lakonannya, Jana Nayagan di Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 85,000 peminatnya. 

Pada pentas itu, Vijay membuat pengumuman yang akan berundur daripada dunia lakonan bagi memberi tumpuan kepada karier politik. 

Kemenangan Vijay membentuk kerajaan Tamil Nadu bukan sekadar kejutan politik, tetapi menyambung tradisi panjang negeri itu yang menyaksikan dunia hiburan dan politik saling berkait rapat sejak beberapa dekad lalu. 

Tamil Nadu bukan asing dengan kebangkitan figura filem menjadi pemimpin politik berpengaruh. 

Daripada M. G. Ramachandran (MGR), J. Jayalalithaa hingga M Karunanidhi yang kuat dengan dunia seni dan penulisan, landskap politik negeri itu sering dibentuk pengaruh budaya popular dan hubungan emosi antara selebriti dengan rakyat. 

Pengaruh filem Tamil yang sangat dekat dengan masyarakat menjadikan pelakon bukan hanya penghibur, tetapi simbol perjuangan, keadilan dan harapan rakyat marhaen. 

MGR misalnya membina legasi melalui imej 'hero rakyat miskin' yang dibawanya di layar perak sebelum diterjemahkan ke dalam politik. 

Jayalalithaa pula berjaya menggabungkan karisma, kekuatan pentadbiran dan pengaruh emosi sehingga digelar 'Amma' oleh penyokongnya. 

Vijay dilihat mewarisi sebahagian formula sama, mempunyai pengaruh besar dalam kalangan anak muda, imej anti-establishment dan keupayaan menggerakkan sokongan akar umbi melalui budaya peminat.

Must Watch Video